TDM di Sabah dan Sarawak dipertingkat, kurangkan bergantung kepada Semenanjung

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 25 Second

BERNAMA

KOTA KINABALU : Tentera Darat Malaysia (TDM) mahu keupayaannya termasuk dari segi aset ketenteraan di Sabah dan Sarawak dipertingkat serta diperkasa bagi mengurangkan kebergantungan kepada pasukan di Semenanjung.

Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain berkata ia penting bagi memastikan TDM di kedua-dua negeri itu sentiasa bersedia dan berupaya bertindak secara sendiri dalam menangani pelbagai ancaman terutama yang melibatkan keselamatan.

Beliau berkata selain aspek keselamatan, adalah penting bagi pasukan tersebut mempunyai keupayaan untuk memberi bantuan kepada rakyat Sabah dan Sarawak terutama yang terkesan akibat bencana seperti melalui program Ops Murni.

“Kita kerjasama dengan jawatankuasa bencana negeri (Sabah), mereka akan terima arahan negeri apa-apa tempat perlu bantuan kita gunakan aset sedia ada, jika tidak mampu mohon kepada Medan Timur (Markas Pemerintahan Medan Timur di Sarawak) dan jika tidak mampu kita gerakan dari Semenanjung.

“Bagaimanapun, kita mahu Sabah dan Sarawak melakukan tugas secara ‘independent’ bukan perlu meminta bantuan Semenanjung sahaja,” katanya pada sidang media di Kem Lok Kawi, di sini hari ini.

Terdahulu beliau menyempurnakan pemakaian pangkat Perdana Anggota Lain-Lain Pangkat Rejimen Sempadan sempena pengukuhan perjawatan Batalion Rejimen Sempadan (BRS) kepada Batalion Infantri Standard (BIS).

Ketika berucap pada majlis itu, Zamrose berkata insiden Lahad Datu pada 2013 meninggalkan sejarah hitam buat negara dan bagi mengelakkan ia berulang TDM akan terus berusaha menunaikan tanggungjawab memberi jaminan keselamatan kepada negara.

Menurutnya Sabah pada masa ini mempunyai lima pasukan BIS, iaitu empat Rejimen Askar Melayu Diraja dan satu BRS yang dilihat mampu memperkemas struktur TDM di negeri ini.

“Usaha untuk melengkapkan aset BIS akan dipercepat bagi memastikan segala ancaman dapat ditangkis dan kedaulatan negeri ini terjamin.

Saya menyeru kepada pasukan BRS agar terus berusaha meningkatkan kesiapsiagaan pasukan bagi diatur gerak apabila diperlukan,” katanya.  BERNAMA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *