Tiga pemain baharu bakal perkuat Sabah FC

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 21 Second

KOTA KINABALU : Sabah FC mengumumkan beberapa pemain baharu bagi memperkasakan lagi pasukan itu dalam menghadapi saingan Liga Super musim ini.

Antara pemain baharu yang diumumkan menerusi perkongsian di laman Facebook rasmi skuad The Rhinos itu adalah Dinesh a/l Rajasingam; S.Kumaahran dan Jafri Firdaus Chew.

Dinesh sebelum ini bermain bersama Selangor FC telah bergiat aktif dalam kancah bola sepak sejak di bangku sekolah lagi ketika beliau menuntut di Sekolah Sukan Bukit Jalil dari tahun 2012 sehingga 2015.

Anak kelahiran Setapak itu memiliki kepantasan dan teknik kawalan bola yang baik dan merupakan pemain tonggak utama skuad B16 kebangsaan 2013 di bawah kendalian S.Balachandran yang menjulang trofi kemenangan untuk Malaysia dalam kejohanan bola sepak ASEAN Football Federation (AFF) di Myanmar.

Pemain pertahanan kiri ini telah memulakan karier profesionalnya dalam kancah bola sepak Malaysia bersama pasukan Pahang sejak tahun 2016.

Sementara itu, bekas pemain Petaling Jaya (PJ) City FC S.Kumaahran yang turut diumumkan menyarung jersi Sabah FC sebelum ini pernah beraksi bersama Harimau Muda pada 2015 dan salah seorang watak penting yang membawa Malaysia memenangi pingat perak Sukan SEA tahun tersebut.

Pemain sayap kelahiran Pulau Pinang itu turut menerima sambutan positif daripada penyokong khususnya Sabah FC yang mampu berkhidmat di posisi bek kanan dan pertengahan kanan.

Dalam pada itu, bekas pemain Harimau Muda B Jafri Firdaus Chew yang pernah menerima bimbingan dari Datuk Ong Kim Swee juga bakal bersama pasukan itu musim ini.

Pemain berusia 25 tahun itu mampu untuk bermain sebagai penyerang dan pertahanan kanan memberikan lebih banyak ‘options’ kepada Sang Badak.

Selain tiga pemain baharu ini, Sabah turut mengumumkan untuk menyambunt kontrak pemain pertahanan Dominic Tan. – SABAH MEDIA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *