HomeUtamaRakyat diminta terus bersatu padu memacu pembangunan Sabah

Rakyat diminta terus bersatu padu memacu pembangunan Sabah

Read Time:1 Minute, 28 Second

KOTA KINABALU: Rakyat di negeri ini diminta untuk terus bersama-sama berganding bahu, bekerjasama dan bersatu padu memacu pembangunan negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, yakin negeri ini akan terus menikmati keamanan, kejayaan dan kemakmuran jika semua rakyat terus bersatu padu.

“Negeri Sabah kini berada di landasan yang tepat untuk memperkasa pertumbuhan ekonomi dan merancakkan pembangunan melalui Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0, 2021-2025.

“Pelaksanaan pelan pembangunan yang komprehensif dan holistik ini telah menampakkan impak positif. Antaranya, termasuklah nilai pelaburan asing dan
domestik yang semakin bertambah, perkembangan positif sektor pelancongan serta pelaksanaan pelbagai program pembangunan di semua sektor.

“Melalui tadbir urus kewangan negeri yang baik pula, hasil negeri juga terus meningkat
dan telah mencapai angka RM6.6 bilion pada tahun 2022,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Istiadat Lafaz Sumpah Jawatan Yang Dipertua Negeri
Sabah Ke-10, Tun Juhar Mahiruddin untuk penggal keempat di Istana Seri Kinabalu di
sini, hari ini.

Hajiji berkata walaupun Hala Tuju SMJ berpaksikan kepada tiga teras utama, namun
sektor-sektor lain turut diberi perhatian.
Ini dapat dilihat katanya melalui Belanjawan Negeri Tahun 2023 yang berjumlah RM5.138 bilion, di mana hampir kesemua kementerian dan jabatan mendapat peningkatan peruntukan.

“Ini meliputi semua sektor, daripada sektor ekonomi, sosial, perindustrian, pertanian,
pelancongan, infrastruktur, modal insan hinggalah kepada pembangunan wanita, belia
dan sukan.

“Hala Tuju SMJ telah meletakkan semua kementerian dan agensi kerajaan, syarikat
berkaitan kerajaan, syarikat swasta dan rakyat keseluruhannya bergerak sebagai satu
pasukan untuk memastikan semua inisiatif menghala ke satu tujuan untuk bersama-
sama membangunkan negeri ini.

“Justeru, saya mengajak seluruh lapisan rakyat di negeri ini untuk terus bersatu padu
memacu pembangunan negeri ini. Saya yakin Sabah akan terus menikmati keamanan,
kejayaan dan kemakmuran di bawah naungan Tuan Yang Terutama Tun sebagai simbol
perpaduan seluruh pemimpin dan rakyat jelata yang berbilang kaum, agama dan
budaya,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Crisnanalina terima bantuan kewangan dari ADUN Sugut untuk lanjut pengajian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular