Panel jurulatih bersedia jalankan sesi pemilihan pemain pasukan Piala Presiden & Piala Belia 2023

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 30 Second

KOTA KINABALU: Barisan panel jurulatih yang telah dilantik sudah bersedia untuk menjalankan sesi pemilihan pemain bagi pasukan Piala Presiden dan Piala Belia untuk saingan musim 2023.

Sesi pemilihan selama lapan hari yang bermula 6 hingga 14 Januari itu akan dijalankan di lapan zon seluruh negeri ini.

Setiausaha Eksekutif Persatuan Bola Sepak Negeri Sabah (SAFA), David Wisom berkata, senarai jurulatih yang dilantik adalah dalam kalangan jurulatih yang berkelayakan.

“Antara yang dilantik adalah bekas jurulatih pasukan Sabah seperti Jelius Ating, Justin Ganai, Burhan Ajui, Matlan Marjan, Dzulfaizal Ag Anak, Zallius Robert, Ledy Malantang dan Jasrih Jabirin.

“Pemain yang dipilih untuk kali ini bukan saja untuk dua kejohanan tahun hadapan tetapi juga sebahagian daripada perancangan jangka masa panjang SAFA.

“Jurulatih yang dipilih adalah terdiri daripada mereka yang berkelayakan dan mampu mempersiapkan pasukan untuk bersaing dan seterusnya membangunkan mutu bola sepak di negeri ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat dan taklimat akhir panel pemilih bagi sesi pemilihan pemain bawah 18 dan 20 tahun di Pejabat SAFA, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Penolong Setiausaha Agung, Azman Mastar; Ahli Majlis Tertinggi SAFA, Shamsuddin Mohd Shah dan Pengarah Teknikal SAFA, Omar Maya Amat.

Menurut David, antara daerah yang terpilih untuk sesi pemilihan berkenaan ialah Beaufort, Keningau, Tawau, Sandakan, Telupid, Kota Marudu dan Tuaran serta Kota Kinabalu.

Beliau turut memaklumkan setiap pemain yang berminat untuk menyertai sesi pemilihan ini boleh mendaftar secara atas talian.

“Maklumat boleh disalurkan menerusi https://forms.gl/LhrjMsquYycmcwVz6 untuk pendaftaran Piala Belia bawah 18 tahun.

“Manakala pemain untuk Piala Presiden bawah 20 tahun boleh disalurkan ke https://forms.gle/LhrjMsquYycmcwVz6,” katanya.

Sementara itu, bekas jurulatih Sabah, Jelius Ating berkata, setiap pemain yang berminat untuk menyertai sesi pemilihan ini digalakkan supaya melakukan persiapan awal.

“Ia bagi memastikan prestasi dan disiplin pemain berada pada tahap terbaik sepanjang sesi pemilihan berkenaan,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *