WHO Beri Amaran Kemunculan Varian Baharu COVID-19 Digelar ‘Kraken’

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 16 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

CANBERRA: Masuk tahun keempat sejak kes awal COVID-19 dilaporkan merebak di Wuhan (China), virus penyakit berjangkit itu terus bermutasi dan masih mengancam kesihatan, ekonomi dan masyarakat dunia secara keseluruhan.

Dalam taklimat media secara maya dari Geneva, Switzerland pada 4 Januari lalu, Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus menyuarakan kebimbangan penularan meluas COVID-19 membabitkan subvarian baharu di beberapa bahagian dunia.

Satu daripada subvarian Omicron yang pada asalnya dikesan pada Oktober 2022 ialah XBB.1.5 – gabungan dua BA.2 sublineage – diberitakan sedang meningkat di Amerika Syarikat serta Eropah dan dikenal pasti di lebih 25 negara.

Pakar menggelarkan strain Omicron XBB.1.5 ini dengan nama ‘Kraken’ yang berpotensi mencetuskan gelombang besar COVID-19. WHO dilaporkan sedang membuat penilaian risiko strain XBB.1.5.

Meskipun kehidupan sudah hampir kembali ke keadaan normal selepas dua tahun dalam pandemik, subvarian baharu XBB.1.5 mengancan kemajuan itu.

Strain Kraken ini dipercayai lebih mudah berjangkit dan mampu mengelak daripada perlindungan vaksin dan jangkitan lama, lapor agensi berita news.com.au.

WHO melabelkan strain itu sebagai ‘subvarian paling mudah berjangkit yang pernah dikesan’, dengan XBB.1.5 menjadi punca sebahagian besar jangkitan di Amerika Syarikat (AS).

Ia turut dikesan di Australia, United Kingdom (UK) dan beberapa negara Eropah lain seperti Denmark, Perancis, Jerman dan Sepanyol. Subvarian itu masih belum ditemui di New Zealand.

Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS, lebih 40 peratus jangkitan di negara itu adalah berpunca daripada XBB.1.5.

Khamis lalu, Jabatan Kesihatan New South Wales (NSW) turut mengesahkan bahawa sejumlah kecil strain baharu itu sudah dikesan di seluruh Australia.

“Masih terdapat sejumlah besar kumpulan campuran subvarian menular, dan subvarian BR.2 adalah yang paling banyak dikesan.

“Jabatan itu juga terus memantau kemunculan subvarian termasuk XBB.1.5, yang dikesan dalam jumlah kecil dalam tempoh dua minggu sebelum 24 Disember 2022,” kata kenyataan Jabatan Kesihatan NSW.

Di UK, Agensi Keselamatan Kesihatan menasihatkan penduduk yang bergejala demam dan flu untuk kekal di rumah atau memakai pelitup muka, ketika Sistem Kesihatan Nasional (NSH) negara itu bergelut menguruskan kes COVID-19 dan flu.

Situasi itu berlaku selepas semua langkah sekatan COVID-19 di seluruh UK ditamatkan oleh bekas Perdana Menteri British, Boris Johnson pada Februari tahun lalu.

Setiausaha Kesihatan UK, Humza Yousaf, turut memberi amaran bahawa NHS berisiko berdepan dua minggu yang amat mencabar selepas dua virus itu tersebar dalam komuniti.

Bercakap kepada BBC Scotland, beliau menyifatkan musim sejuk ketika ini bakal menjadi tempoh yang paling mencabar dalam sejarah penubuhan NHS sejak 74 tahun lalu.

“Ini kerana bukan saja berdepan peningkatan kes COVID-19, tapi juga jangkitan lain yang kembali dengan ancaman yang tak pernah dilihat sejak beberapa tahun lalu,” katanya. – AGENSI

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *