HomeUtamaMA63 lebih utama berbanding 'susun-menyusun kerusi' -Ewon

MA63 lebih utama berbanding ‘susun-menyusun kerusi’ -Ewon

Read Time:1 Minute, 56 Second

KOTA KINABALU: Tuntutan untuk melaksanakan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sepatutnya menjadi keutamaan bukan ‘susun-menyusun kerusi’ atau menggulingkan kerajaan di pertengahan penggal.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Ewon Benedick berkata, ini kerana tuntutan pelaksanaan MA63 adalah satu perkara penting yang dinanti-nantikan seluruh rakyat Sabah selama ini.

“Sepatutnya inilah fokus kita iaitu menuntut hak-hak dalam Perjanjian Malaysia, hak-hak kita dalam Perlembagaan Persekutuan dan bukan lain-lain hal, hal ‘susun menyusun kerusi’ di dewan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahas Rang Undang-Undang Suruhanjaya Tenga Sabah 2023 yang dibentang oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, pada persidangan khas di Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, hari ini.

Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, pengambilalihan kuasa kawal selia sektor tenaga, bekalan gas dan elektrik merupakan sebahagian daripada MA63.

“Ini adalah hasrat rakyat Sabah sejak sekian lama dan hari ini terlaksana dengan pembentangan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Tenaga Sabah.

“Saya percaya semua dalam dewan ini (wakil rakyat) akan menyokong dan meluluskan rang undang-undang ini.

“Saya juga bangga kerana menjadi sebahagian daripada keputusan ini di Putrajaya baru-baru ini dan sekali lagi akan menjadi sebahagian daripada keputusan kita meluluskan rang undang-undang ini di DUN, hari ini,” katanya.

Ewon turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Sabah atas ketegasan menyelesaikan pelbagai isu yang berlaku di negeri sehingga membawa kepada pembentangan rang undang-undang ini.

“Saya percaya lebih banyak lagi hak-hak Sabah yang kita akan terus perjuangkan selepas ini,” katanya.

Beliau juga mengulangi syornya sebelum ini supaya satu Jawatankuasa Bersama Antara Parti di peringkat Dewan Undangan Negeri diwujudkan untuk terus membincangkan pelbagai tuntutan mengenai hak-hak rakyat Sabah yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia dan perlembagaan, termasuk perkara berkaitan 40 peratus.

“Saya percaya dengan usaha konsisten dan berterusan, kita mendapat lebih banyak hak-hak kita dalam masa terdekat dan akan datang,” katanya.

Ewon juga mencadangkan supaya kerajaan negeri menambah kementerian bagi mengurus hal-hal berkaitan tenaga dan bekalan gas di Sabah.

Beliau berpendapat, ada keperluan untuk Ketua Menteri memperkasakan pentadbiran kerajaan Sabah dengan menambah kementerian supaya ada satu menteri khas untuk melihat hal-hal berkaitan dengan tenaga.

“Saya berpendapat, cadangan menambah jumlah jemaah menteri di Sabah ditambah seorang atau dua lagi untuk kita mengambil alih hak-hak kita di dalam Perjanjian Malaysia dan juga hak-hak kita dalam perlembagaan persekutuan,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Agensi Pintu Masuk dan Sempadan Malaysia diarah memulakan tugas serta-merta –...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya