HomeIsu tempatanEmpat kluster penyelidikan diberi fokus bagi lahirkan masyarakat berinovasi

Empat kluster penyelidikan diberi fokus bagi lahirkan masyarakat berinovasi

Read Time:1 Minute, 21 Second

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) akan memfokuskan empat kluster penyelidikan bagi melahirkan masyarakat berinovasi seiring slogan ‘Leading towards Innovative Societies.’

Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj Mansor berkata, penyelidikan itu merangkumi kluster Alam Sekitar dan Sains Gunaan, Kejuruteraan dan Teknologi, Perubatan dan Sains Hayat, serta Seni dan Sains Sosial.

“Kluster penyelidikan yang dikemukakan ini lebih bersifat inklusif yang membolehkan keseluruhan warga penyelidik UMS menyumbang kepada kecemerlangan penyelidikan dan inovasi.

“Kekuatan UMS akan digembleng secara bersepadu berlandaskan kekuatan sedia ada di UMS,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Majlis Perutusan Tahun Baharu 2023 dan 100 Hari Naib Canselor di Dewan Bankuasi di sini, pada Selasa.

Menurut Kasim, kluster yang diwujudkan adalah bersifat rentas disiplin bagi membolehkan kerjasama pelbagai bidang kepakaran tanpa perlu terikat hanya kepada fakulti atau institut atau pusat.

“Kluster yang dibentuk akan membantu menyokong pembangunan mampan sumber yang ada di mana Sabah amat sinonim dengan keindahan alam sekitar, sumber semula jadi, sumber laut, hutan, tanah yang subur dan kepelbagaian penduduk.

“Tidak mustahil jika Sabah mampu menjadi sumber ekonomi baharu negara jika kluster yang diwujudkan ini berjalan seperti yang diharapkan,” jelasnya.

Beliau menambah, kluster penyelidikan yang dibuat juga berupaya untuk mengetengahkan UMS selaku pusat ilmu bertaraf dunia di rantau Asian khususnya dalam kalangan negara-negara BIMP-EAGA.

“Insya-Allah, kluster penyelidikan ini berupaya menjadi wadah terbaik bagi merealisasikan slogan Leading towards Innovative Societies di mana ia akan membolehkan UMS memimpin masyarakat berinovasi ke arah kelestarian sosioekonomi mereka,” ujar Kasim.

Majlis yang disiarkan secara langsung melalui facebook dan saluran Youtube rasmi UMS turut dihadiri Pegawai-pegawai Utama dan Kanan universiti serta barisan kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP). – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Laluan masuk jejantas Skybridge ke Centre Point dibuka kepada awam

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya