KPDN berjaya tumpaskan penyelewengan minyak diesel

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 44 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

TUARAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berjaya menumpaskan kegiatan penyelewengan minyak diesel dalam satu operasi di sebuah stor tidak bernombor di Kampung Lok Batik di sini semalam.

Dalam operasi jam 10.30 pagi itu, pasukan operasi berjaya merampas sebanyak 29,000 liter minyak diesel yang diletakkan dalam skid tank beserta pam elektronik dengan nilai sitaan keseluruhan berjumlah RM107,000.

Ketua Pegawai Penguat kuasa KPDN Daerah Tuaran Saripuddin Moleng berkata, dua lelaki warga tempatan yang dipercayai pekerja stor di lokasi serbuan turut ditahan dan diambil keterangan bagi tujuan membantu siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Katanya, serbuan telah dijalankan selama seminggu oleh KPDN Cawangan Tuaran sebelum serbuan dijalankan.

“Berdasarkan keterangan awal, daripada pekerja stor di tempat kejadian, barang kawalan tersebut diperolehi daripada pembekal diesel industri yang sah. Walau bagaimanapun kedua-dua pekerja tersebut gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran dan lesen yang sah untuk menyimpan barang kawalan di lokasi berkenaan.

“Sebagai tindakan lanjut, kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana menyimpan barang kawalan di tempat yang tidak mendapat kebenaran pengawal.

“Siasatan juga akan dilakukan di bawah Seksyen 21 akta sama kerana memiliki barang kawalan dengan tujuan untuk melakukan kesalahan yang dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana menjalankan urus niaga barang kawalan tanpa lesen.

“Di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122), mana-mana individu yang disabit dengan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Saripuddin berkata, kementerian juga akan mengambil tindakan tegas dengan menggantung sementara lesen pengusaha stesen minyak yang terlibat sehingga siasatan selesai dijalankan.

Katanya, KPDN akan terus menjalankan pemeriksaan dan pemantauan secara berterusan ke atas semua kegiatan berkaitan barang kawalan di Cawangan Tuaran agar tidak berlaku sebarang bentuk penyelewengan terhadap barang kawalan berkenaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang aktiviti yang melanggar perundangan itu boleh menyalurkan aduan kepada pihak kementerian saluran yang disediakan,” katanya. – SABAH MEDIA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *