Persatuan Anak Sabah di tiga buah universiti di Johor terima sumbangan dana

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 6 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

JOHOR BAHRU : Persatuan anak Sabah di tiga buah universiti di sini menerima peruntukan dana masing-masing berjumlah RM7,000 dari Kerajaan Sabah.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, peruntukan itu adalah untuk membantu melaksanakan kegiatan persatuan pelajar Sabah di universiti terlibat.

“Alhamdulillah pada hari ini (semalam) saya dapat bertemu dan berdialog mesra dengan 300 orang mahasiswa Sabah yang sedang belajar di Johor.

“Sempena majlis ini, Kerajaan menerusi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) mengumumkan peruntukan sebanyak RM7,000 untuk setiap persatuan anak Sabah di tiga universiti tersebut,” katanya.

Antara universiti yang terlibat dalam majlis pertemuan itu ialah Universiti Teknologi Malaysia (UTM); Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHO).

Mohd Arifin berkata, pelbagai perkara telah dikemukakan pelajar kepada pihaknya ketika sesi dialog diadakan.

“Ini termasuklah bantuan pendidikan, bantuan kepada persatuan mahasiswa, bantuan latihan, isu tiket penerbangan di hari perayaan dan Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Arifin berkata, Sekretariat Mahasiswa Sabah (SEMESTA) yang dilancarkan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor tahun lalu akan dijadikan sebagai wadah penghubung antara pelajar dan Kerajaan Negeri.

Katanya, ia adalah bagi membolehkan pelajar menyalurkan pandangan, syor, cadangan sekaligus bagi memudahkan Kerajaan menyampaikan maklumat mengenai dasar dan  sebarang insiatif bantuan kepada pelajar. – SABAH MEDIA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *