118 pemain hadiri sesi pemilihan terakhir Piala Presiden dan Piala Belia

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 11 Second

KOTA KINABALU: Seramai 118 pemain akan menghadiri sesi pemilihan fasa akhir bagi pembentukan pasukan Piala Presiden dan Piala Belia 2023.

Setiausaha Eksekutif Persatuan Bola Sepak Negeri Sabah (SAFA), David Wisom berkata, pemilihan fasa akhir itu diadakan bagi memilih seramai 25 pemain terbaik untuk setiap pasukan.

Katanya, sesi pemilihan ini akan dikendalikan barisan panel jurulatih bertauliah seperti Justin Ganai, Jelius Ating, Burhan Ajui dan Matlan Marjan serta beberapa lagi jurulatih berpengalaman.

“Persediaan awal kedua-dua pasukan ini amat penting bagi memastikan setiap pemain bersedia untuk bersaing pada kejohanan Piala Belia dan Piala Presiden tahun ini.

“Kita mengharapkan, segala usaha dan persiapan yang dirangka ketika ini dapat menghasilkan kejayaan bukan saja di peringkat kumpulan tetapi juga di pusingan akhir,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat fasa akhir sesi pemilihan di pejabat SAFA, di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Teknikal SAFA, Omar Maya Amat dan barisan panel pemilih yang terlibat.

David berkata, pihak SAFA sentiasa memberi keutamaan kepada pasukan Piala Belia dan Piala Presiden untuk kesinambungan masa depan bola sepak di negeri ini.

Katanya, kedua-dua kejohanan ini adalah pendedahan awal kepada para pemain terhadap corak permainan berintensiti tinggi sebelum ke peringkat seterusnya seperti Liga Super dan Liga Simpanan.

“Kita mahu meningkatkan kualiti teknikal dan kreativiti pemain selain kemampuan pemain muda dalam merencanakan permainan ketika perlawanan.

“Sudah pasti, semua ini memerlukan persiapan awal terutamanya oleh barisan jurulatih bagi membina pasukan berkualiti dan berprestasi tinggi,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *