Banjir : Waspada terhadap persekitaran, utamakan keselamatan – Ruslan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 8 Second

BEAUFORT : Penduduk di daerah ini diseru untuk sentiasa berwaspada terhadap persekitaran mereka susulan keadaan cuaca yang tidak menentu selain banjir yang melanda di beberapa buah daerah di Sabah.

Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri Datuk Ruslan Muharam berkata, beberapa kawasan di daerah ini turut terjejas banjir khususnya di Kampung Lago, Suasa dan Keramis.

Katanya, meskipun keadaan banjir di Pekan Beaufort telah mula surut namun keadaan air di beberapa kawasan kampung khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan mula meningkat.

“Beberapa laluan di Kampung Lago, Suasa dan Keramis tidak dapat dilalui oleh kenderaan untuk keluar ke Pekan.

“Saya juga telah difahamkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Beaufort, di mana paras air Sungai Padas akan kembali meningkat apabila empangan Pangi di Tenom dibuka. Sudah pasti air akan naik di kawasan perkampungan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan selepas mengadakan tinjauan ke beberapa kawasan terjejas banjir di sini pagi tadi.

Ruslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan berkata, pihaknya turut menyeru kepada masyarakat khususnya di kawasan berisiko banjir agar bersiap sedia untuk berpindah.

“Saya menyeru kepada masyarakat khususnya di kawasan yang berisiko banjir agar dapat bersiap sedia lebih awal bagi menghadapi peningkatan air Sungai.

“Selain itu, saya juga berharap agar anak-anak kecil turut dapat dipantau daripada bermain air banjir selain dapat memindahkan warga emas dan mereka yang sakit ke tempat selamat,” katanya. – SABAH MEDIA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *