Hajiji umum mengetuai Parti Gagasan Rakyat Sabah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 36 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan akan mengetuai sebuah parti yang dikenali sebagai Parti Gagasan Rakyat Sabah atau singkatannya Gagasan Rakyat, di sini hari ini.

Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata parti itu akan digunakan untuk meneruskan perjuangan sebagai parti tempatan di negeri ini.

Katanya, parti tersebut telah iterima oleh GRS sebagai parti gabungan pada 9 Disember lalu. Parti itu akan dilancarkan dalam beberapa hari ini.

“InsyaAllah, kita akan menggerakkan dan meneruskan perjuangan kita melalui Gagasan Rakyat demi pembangunan rakyat serta negeri ini.

“Justeru, selepas ini tidak timbul lagi macam-macam isu untuk mempertikaikan kedudukan saya sebagai ketua menteri.

“Apa yang penting, saya telah mendapat sokongan majoriti dari Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sebagai Ketua Menteri Sabah dan sekarang saya telah mengetuai sebuah parti iaitu Gagasan Rakyat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutupan Konvensyen Mahasiswa GRS dan Pelancaran Sayap Pelajar GRS di Hotel Raia, di sini pada Ahad.

Hajiji berkata, Gagasan Rakyat adalah parti sedia ada yang kini diambil alih dan diketuainya.

Menurutnya, GRS kini mempunyai lima parti dalam gabungan berkenaan iaitu Parti Gagasan Rakyat Sabah atau Gagasan Rakyat; Parti Bersatu Sabah (PBS); Parti Solidariti Tanah Airku (STAR); Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO).

Terdahulu dalam ucapannya, Hajiji turut berasa hairan dengan sikap beberapa pihak yang masih tidak puas hati dengan pentadbirannya.

“Saya hairan kenapa sedangkan kita mengurus negeri dengan baik. Namun saya tahu, semua ini bukan kerana kita gagal urus negeri, sebaliknya ada perasaan rakus dan
tamak dengan kedudukan.

“Bagaimanapun, saya yakin dengan sokongan rakyat kerana kita telah berjaya melakukan yang terbaik untuk masa depan Sabah, saya yakin kita boleh mengatasi semua cabaran dalam pemerintahan ini,” katanya.

Turut hadir, Presiden PBS Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili; Presiden USNO Tan Sri Pandikar Amin Mulia; Timbalan Presiden STAR Datuk Ellron Alfred Angin; Setiausaha Agung GRS Datuk Seri Masidi Manjun; dan Pengerusi Penaja Sayap Pelajar GRS Datu Hishamuddin Datu Hasim.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *