10 kampung dipilih sebagai perintis Kongsi Rezeki : Program Peningkatan Ekonomi Komuniti

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 51 Second

SOOK : Sebuah koperasi di setiap kampung di daerah ini dicadang untuk diwujudkan bagi mengurus projek tanaman jagung dengan lebih teratur.

Ahli Parlimen Pensiangan Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, menerusi koperasi itu, para ahli yang terlibat akan dapat menikmati kemajuan projek yang dilaksanakan.

“Sebanyak 10 buah kampung di daerah kecil Sook telah dipilih sebagai perintis bagi Projek Kongsi Rezeki: Program Peningkatan Ekonomi Komuniti dengan kerjasama Koperasi Tanjung Keramat Bhd.

“Justeru itu, kita mempunyai perancangan jangka masa panjang untuk mewujudkan koperasi di setiap kampung yang terlibat bagi mengurus projek tanaman ini dengan teratur untuk kebaikan dan kemajuan projek ini seterusnya dapat dinikmati oleh setiap ahli di kampung-kampung yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan selepas merasmikan program Kongsi Rezeki : Program Peningkatan Ekonomi Komuniti di sini semalam.

Antara kampung-kampung yang terlibat antaranya Kampung Sinulihan, Kampung Baru Jumpa, Kampung Pengiradan, Kampung Simpang Empat, Kampung Kiulu Baru dan Kampung Tiong.

Semua kampung yang terlibat akan dibimbing oleh pihak Koperasi Tanjung Keramat Bhd bagi penanaman jagung.

Arthur yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, menerusi kerjasama itu, pihaknya akan memberi taklimat dan kursus bagaimana cara untuk menanam jagung selain mendapat hasil yang terbaik.

Katanya, pihaknya juga akan turut membantu memasarkan hasil tanaman mereka nanti.

“Melalui program ini, setiap petani yang terlibat disasar akan memperolehi pendapatan sekurang- kurangnya RM1,000 seekar bagi setiap kali tuaian mengikut kepada saiz serta kualiti tanaman.

“Setiap tuaian boleh dibuat setiap 90 hingga 100 hari,” katanya.

Sementara itu, Arthur berkata, program itu juga merupakan usaha yang berterusan untuk meningkatkan ekonomi rakyat dan membantu mengurangkan kos sara hidup.

Katanya, ia juga merupakan antara komitmen beliau agar inisiatif yang dilaksanakan secara berterusan itu akan diteruskan ke kawasan yang lain.

“Sudah pasti ini akan dapat membantu meningkatkan lagi ekonomi petani dan penduduk luar bandar. Ini adalah selaras dengan pendirian beliau untuk Bersama Kita Hebatkan Pensiangan,” katanya.

Projek Kongsi Rezeki : Program Peningkatan Ekonomi Komuniti ini merupakan contoh terbaik bagaimana kerjasama antara Ahli Parlimen dan pihak swasta dapat meningkatkan ekonomi rakyat luar bandar iaitu membangunkan pertanian dan membantu memasarkan hasil dan produk tanaman.

Pada majlis itu, Arthur turut menyerahkan sumbangan bibit jagung dan mesin rumput kepada setiap kampung yang terlibat dalam usaha untuk membantu para penduduk memulakan tanaman ini. – SABAH MEDIA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *