Mahasiswa 18 tahun ke atas disaran mempunyai pengetahuan keadaan dan perjuangan politik negara – Hajiji

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 28 Second

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor mahu mahasiswa yang berusia 18 tahun ke atas mempunyai pengetahuan mengenai keadaan dan perjuangan politik di negara ini termasuk di Sabah.

Justeru itu, katanya, beliau mahu lebih ramai mahasiswa Sabah di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) awam atau swasta seluruh negara dilibatkan dalam program yang dilaksanakan oleh Sayap Pelajar GRS.

“Menerusi penglibatan mereka dalam program seperti ini, kerajaan akan lebih maklum segala kemahuan atau permintaan yang disuarakan oleh anak-anak muda,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Penutupan
Konvensyen Mahasiswa GRS dan Pelancaran Sayap Pelajar GRS di Hotel Raia, di sini
pada Ahad.

Hajiji berkata, selain konvensyen ini, kerajaan negeri telah menyediakan pelbagai platform kepada pelajar untuk berkongsi aspirasi dan juga menyuarakan hak mereka.

“Antaranya ialah penganjuran Majlis Perundingan Pelajar Sabah (MPPS) dan Sekretariat Mahasiswa Sabah Malaysia (SEMESTA). Semua ini memperlihatkan pengiktirafan kerajaan kepada anak muda terutamanya pelajar.

“Sebagai Ketua Menteri, saya akan meneliti dan mengambil perhatian serius terhadap setiap usul yang dicadangkan demi kepentingan bersama termasuk menerusi konvensyen ini,” katanya.

Sehubungan itu Hajiji berkata, kerajaan negeri telah memperuntukkan sejumlah RM16.42 juta dalam Belanjawan 2023 untuk melaksanakan Program Pembangunan Kepimpinan Belia yang meliputi aktiviti kesukarelawanan dan perpaduan sosial.

“Semua ini adalah bagi melahirkan pemimpin belia yang berkualiti tinggi, Saya berharap anak muda kita akan mengambil peluang segala inisiatif yang disediakan kerajaan kerana anda semua adalah aset yang perlu diberi peluang dalam pembangunan ekonomi negeri,” katanya.

Beliau turut mengajak para mahasiswa untuk terus memberi sokongan kepada kerajaan dalam usaha membawa negeri Sabah lebih maju dan makmur serta menjayakan Hala
Tuju Sabah Maju Jaya.

Hadir sama Presiden PBS, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili; Presiden USNO, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Timbalan Presiden STAR, Datuk Ellron Alfred Angin dan Pengerusi Penaja Sayap Pelajar GRS, Datu Hishamuddin Datu Hasim.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *