KOTA KINABALU : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah komited untuk terus melaksanakan pemeriksaan terhadap premis perniagaan dan mengawal selia bekalan serta harga barang kawalan khususnya di negeri ini.
Ia termasuklah keperluan asas di setiap peringkat rantaian bagi memastikan keberadaan bekalan barang terutamanya minyak masak, ayam dan telur ayam.
Pengarah KPDN Sabah Georgie Abas berkata, pemeriksaan yang dijalankan juga bertujuan untuk membanteras aktiviti menyorok barang kawalan bagi memastikan keberadaan bekalan terutama barang makanan sentiasa mencukupi dan mudah diperolehi oleh pengguna pada harga berpatutan setiap masa.
Katanya, pemeriksaan keberadaan barang kawalan ayam, telur ayam, dan minyak masak telah dijalankan di premis-premis tumpuan pengguna di sekitar Kota Kinabalu semalam dan mendapati bekalan ayam, telur, dan minyak masak ada di pasaran.
“Anggota penguatkuasa KPDN Sabah akan berada di lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai membeli-belah seperti pasar awam, pasar tani dan pasar raya untuk menjalankan pemeriksaan dan pemantauan setiap hari bagi memastikan bekalan barangan keperluan asas pengguna adalah mencukupi, mudah didapati dan dijual pada harga berpatutan.
“Sepanjang Januari lalu, sebanyak 8,112 premis telah diperiksa di seluruh Sabah. Daripada pemeriksaan tersebut, sebanyak 139 kes telah dihasilkan melibatkan kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011, Akta Timbang dan Sukat 1972, dan Akta Kawalan Bekalan 1961 dengan nilai kompaun sebanyak RM20,700,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Georgie berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah perundangan ini.
Katanya, mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 dan Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961, boleh dikenakan penalti. – SABAH MEDIA