Dana yang mencukupi perlu diberi tumpuan dalam sektor kesihatan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 21 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

KOTA KINABALU: Pendanaan dalam sektor kesihatan di negara ini perlu diberi tumpuan bagi memastikan perkhidmatan kesihatan dapat kembali berada pada tahap yang sewajarnya.

Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni berkata, dana yang mencukupi amat diperlukan khusunya bagi meningkatkan tahap perkhidmatan selain memenuhi keperluan rakyat yang semakin bertambah.

“Selepas berdepan dengan pandemik COVID-19 sebelum ini yang memerlukan fungsi perkhidmatan kesihatan yang digerakkan pada luar kebiasaan, kini telah tiba masanya untuk proses memulihkan fasiliti yang ada.

“Justeru kita berharap kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat melihat keperluan kesihatan khususnya memberi tumpuan kepada pendanaan kesihatan agar kita dapat ‘catch up’.

“Ini kerana selepas dua hingga tiga tahun berdepan dengan COVID-19, ambulans yang baru dipakai telah mencatat ‘mileage’ yang besar kerana aset yang ada digunakan sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKSS) di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JKNS) Datuk Dr Rose Nani Mudin.

Lukanisman berkata, berikutan itu, sistem kesihatan di negara ini perlu dipulihkan semula dan dapat memberi satu perkhidmatan yang terbaik dan bermaruah kepada rakyat.

Katanya, meskipun keadaan ekonomi yang kurang baik ketika ini sedikit sebanyak telah menjejaskan pengagihan dana kepada sektor kesihatan

Justeru beliau berharap dengan adanya kestabilan Kerajaan Perpaduan, dana dapat ditingkatkan.

“Berdasarkan ekonomi semasa dan memandangkan peruntukan Ahli Parlimen diturunkan, itu menandakan Perdana Menteri sedang berusaha keras menangani situasi ini.

“Jadi memang dana untuk kesihatan tidak cukup, tapi dengan kerajaan yang stabil kita berharap dalam lima tahun dapat kukuhkan ekonomi dan akhirnya kita dapat bajet yang selayaknya untuk kesihatan,” katanya. – SABAH MEDIA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *