Maritim Malaysia tahan lima PATI, sita dua bot

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 37 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), berjaya menahan dua buah bot jenis penumpang dan jongkong yang cuba membawa Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dari negara jiran masuk ke perairan negara dalam dua kejadian berasingan semalam.

Pengarah Zon Maritim Tawau Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, dalam ops berasingan pihaknya telah telah mengesan pergerakan bot tersebut yang dalam keadaan mencurigakan sebelum ditahan untuk pemeriksaan.

Katanya, sebuah bot penumpang yang bergerak dari arah Pulau Sebatik menuju ke Perairan Tawau dikesan pada jam 8.20 pagi di kedudukan 1.4 batu nautika selatan perairan Batu 2.

“Pemeriksaan selanjutnya mendapati seorang juragan lelaki warga tempatan berumur 66 tahun bersama dua orang penumpang lelaki masing-masing berumur awal 20 an dipercayai warga Indonesia tanpa sebarang dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Shahrizan berkata, dalam kes berasingan,sebuah lagi bot jongkong turut ditahan kira-kira jam 5.30 petang di kedudukan 1.06 batu nautika selatan Perairan Indrasabah.

Katanya, pemeriksaan ke atas bot tersebut mendapati seorang lelaki warga tempatan berusia 19 tahun bertindak selaku juragan membawa tiga penumpang lelaki dipercayai warga Indonesia tanpa sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Kesemua mereka ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk pemeriksaan dan siasatan lanjut kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) dan Akta Imigresen 1959/63 atas cubaan memasuki negara ini melalui laluan yang tidak diwartakan.

“Kesemua barangan termasuk bot jongkong,enjin bot,barangan peribadi disita dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM58,500,” katanya.

Katanya, Maritim Malaysia akan terus memperkasakan tugas penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang di Zon Maritim Malaysia khususnya di Perairan Timur Sabah (ESSZONE).

“Kerjasama dengan agensi-agensi lain akan terus diperkukuhkan demi memastikan undang-undang negara sentiasa dipatuhi,

“Salurkan sebarang salah laku jenayah yang berlaku di sekitar perairan Tawau ke talian Pusat Operasi Zon Maritim Tawau 089-752116 dan talian kecemasan 999. – SABAH MEDIA.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *