Dua beradik lelaki cedera diserang buaya ketika memasang pam air

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 5 Second

KOTA MARUDU: Seorang lelaki parah manakala adiknya mengalami cedera ringan selepas diserang seekor buaya ketika turun ke sungai berhampiran rumahnya untuk memasang pam air di Kampung Sinasak, Pitas dekat sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan (Supt) Zairolnizal Ishak berkata, sebelum kejadian, kedua-dua mangsa lelaki adalah adik beradik masing-masing berusia 53 dan 51 tahun itu telah turun ke dalam sungai berhampiran rumah kediaman mereka pada jam 5.30 petang Isnin (6 Feb) untuk memasang pam air di Sungai Bengkoka, Kampung Sinasak, Pitas.

“Semasa kedua-dua mangsa membetulkan paip PVC di dalam sungai yang pada ketika itu air di paras lutut, mangsa tidak menyedari seekor buaya berukuran 2.4 meter datang dari arah sebelah kiri abangnya dan telah menyerang dengan menggigit bahagian kakinya.

“Melihat kejadian itu, adiknya cuba membantu menyelamatkan abangnya namun dia juga turut digigit buaya tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Zairolnizal, kedua-dua mangsa telah dikejarkan ke Hospital Pitas untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Abangnya mengalami kecederaan parah di kedua belah kaki, tangan serta badan dan masih mendapatkan rawatan di Hospital Pitas, manakala adiknya cedera ringan bahagian tangan kanan serta kaki sebelah kiri dan hanya mendapat rawatan sebagai pesakit luar.

“Bagaimanapun, keadaan mangsa (abang) adalah stabil dan akan dirujuk ke Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu (HQE) untuk rawatan lanjut,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *