59 peserta tamat Kursus Kejurulatihan Badminton Kebangsaan Tahap Satu

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 18 Second

PUTATAN: Seramai 59 peserta berjaya menamatkan kursus Kejurulatihan Badminton Kebangsaan tahap satu, yang diadakan di Juara Badminton Arena, di sini, semalam.

Kursus anjuran Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dengan kerjasama Persatuan Badminton Sabah (SBA) yang membabitkan dua sesi itu diadakan secara teori dan praktikal, bermula 18 Februari lalu.

Presiden SBA, Janih Bangud berkata, kursus kejurulatihan yang dianjurkan kali ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan kehadiran ramai peserta.

Katanya, menerusi usaha yang dirangka itu, ia akan mampu membantu dalam mengesan pemain berbakat untuk diketengahkan dari semasa ke semasa.

“Kita mahu melahirkan lebih ramai pemain muda yang bukan saja mampu bersaing di peringkat negeri tetapi juga di kejohanan kebangsaan.

“Oleh itu, bidang kejurulatihan bertauliah dan berkelayakan perlu diteruskan kerana ia semestinya mampu memberi satu nilai tambah kepada perkembangan sukan badminton di Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis penutupan kursus yang berakhir, semalam.

Janih berkata, pihaknya amat berterima kasih kepada BAM kerana memberi peluang kepada SBA untuk menganjurkan kursus ini di Sabah.

Katanya, ia memberikan ruang dan peluang kepada peserta bagi menambah ilmu selain pengiktirafan sebagai jurulatih untuk pasukan kelab, daerah ataupun negeri khususnya.

“Ia juga memastikan para peserta mempunyai pengetahuan dan pengalaman bagi mendalami ilmu kejurulatihan secara dekat sebelum mengembangkan karier dalam kejurulatihan,” katanya.

Sementara itu, Janih berkata, kursus kejurulatihan itu dikendalikan ketua jurulatih Mohamed Zambri Bahari dan bekas ketua jurulatih remaja Akademi Badminton Malaysia (ABM) yang juga lagenda pemain negara, Kwan Yoke Ming.

Katanya, ia turut dibantu jurulatih tempatan selaku pengerusi Biro Kejurulatihan dan Kepengadilan SBA, Bakri Burahima bersama jurulatih Datuk Steven Joker, Sudirman Abas dan Mathilda Simon.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *