HomeUtamaAlumni UMS dipelawa sumbang bakti kepada universiti

Alumni UMS dipelawa sumbang bakti kepada universiti

Read Time:2 Minute, 4 Second

SANDAKAN: Seluruh alumni Universiti Malaysia Sabah (UMS) dipelawa untuk menyumbang bakti kepada universiti itu seterusnya menjadikan platform alma mater sebagai satu medan perkongsian kepada bakal alumni.

Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, setiap kemahiran, pengalaman dan perkongsian ilmu selepas bergraduat amat bermanfaat untuk dikongsi bersama dengan para pelajar dan seluruh komuniti kampus.

”Bagi saya bukan nilai sumbangan kepada universiti yang menjadi ukuran, sebaliknya bagaimana bentuk sumbangan itu mampu membawa perubahan kepada pembangunan universiti dan juga kebaikan kepada masyarakat setempat.

”Saya amat berharap Alumni UMS tidak melupakan universiti yang tercinta dan seterusnya menyumbang kepada bakal alumni yang ada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Sepetang Bersama Alumni Chapter Sandakan 2023, di Taman Tasik Fakulti Pertanian Lestari (FPL) UMS, di sini, kelmarin.

Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Raman Noordin; Pengarah Pusat Alumni, Dr. Kamisan Pusiran; Pegawai-Pegawai Utama dan Ahli-ahli Senat UMS.

Menyentuh mengenai program itu, Dr. Kasim berkata, kehadiran wakil alumni dari Chapter Sandakan amat bermakna kerana kumpulan-kumpulan itu merupakan antara duta kecil UMS yang kini menabur bakti kepada masyarakat di seluruh pelosok daerah.

“Pada masa yang sama, mereka jugalah yang akan memperkenalkan kewujudan UMS sebagai sebuah universiti awam yang terbaik di Sabah.

“Untuk makluman, alumni UMS di Zon Sandakan kini telah mencecah 887 orang.

“Justeru, adalah menjadi harapan saya agar program seumpama ini akan berkesinambungan untuk menjejak dan membina hubungan baik dengan kesemua alumni UMS,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr. Kasim juga memaklumkan program seumpama itu penting sebagai medan perbincangan antara alumni dan pihak pentadbiran universiti bagi merencana ruang-ruang kerjasama dan program-program yang dapat menambahbaik agenda pembangunan universiti.

”Saya berharap agar pada masa-masa akan datang, program seumpama ini akan dapat diperluaskan lagi dengan penganjuran pelbagai program yang melibatkan zon dan chapter lain di seluruh negara.

”Ini kerana saya percaya, alumni merupakan aset yang amat berharga dan penting kepada UMS.

”Hubungan antara universiti dan alumni perlu diperkukuhkan kerana peranan alumni amat signifikan dalam membantu mengangkat martabat UMS khususnya dalam pengumpulan dana bagi membiayai pembangunan infrastruktur dan kemudahan di Universiti,” katanya.

Menurut Kasim lagi, UMS akan meneruskan usaha mendekati alumni di seluruh negeri, serata negara hingga ke peringkat global menyedari bahawa mereka adalah kumpulan penting yang secara langsung menjadi duta memperkenalkan UMS di mana jua mereka berada.

Pada majlis itu, beliau turut melancarkan ”Kempen 1 Alumni 1 RM”, sebuah inisiatif bagi menerbitkan rasa prihatin kepada UMS sebagai institusi ilmu yang terus menjadi suluh kehidupan. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

KPKM komited teroka peluang baharu tingkat penyertaan belia dalam bidang pertanian

Bangunan Kerajaan Sabah Pentadbiran Sabah Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular