Masalah capaian internet di Parlimen Beaufort perlu diselesaikan segera – Aminah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 33 Second

KOTA KINABALU: Masalah capaian internet luar bandar khususnya di kawasan Parlimen Beaufort perlu diambil perhatian serius dan diatasi dengan segera bagi melancarkan urusan seharian penduduk di kawasan tersebut.

Perkara ini disuarakan oleh Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Siti Aminah Aching dalam perjumpaan singkatnya bersama Menteri Komunikasi dan Digital Ahmad Fahmi Mohamamed Fadzil di bangunan Parlimen semalam.

“Capaian internet adalah satu keperluan, justeru dengan komitmen dan kerjasama daripada semua pihak, saya yakin capaian internet kawasan luar bandar khususnya di Kawasan Parlimen Beaufort mampu ditingkatkan ke tahap yang lebih baik,” katanya.

Menurut Aminah yang juga Ahli Parlimen Beaufort terdapat beberapa buah kampung antaranya di Batu 60 Halogilat dan kampung-kampung terpencil masih belum menikmati capaian internet yang memuaskan yang bukan sahaja menjadi masalah kepada penduduk kampung tapi memberikan kesan kepada para pelajar yang belajar dalam talian dan mencari sumber rujukan.

“Saya berharap Kementerian Komunikasi dan Digital , dapat menyelesaikan isu capaian internet kerana ia menjadi keperluan bukan sahaja memudahkan komunikasi malah melancarkan urusan penduduk di kawasan ini,”

“Saya merayu supaya perbanyakkan menara telekomunikasi di kawasan ini. Banyak urusan sekarang memerlukan capaian internet yang lebih baik,” katanya

Dalam pada itu menurut Aminah, pihak Menteri Komunkasi dan Digital mengambil maklum dan akan mengambil tindakan sewajarnya bagi mengatasi masalah ini khususnya di Kawasan Parlimen Beaufort.

Ketika ditanya mengenai Belanjawan 2023 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anawar Ibrahim semalam di Dewan Rakyat, Aminah yang juga Timbalan Ketua Umno bahagian Beaufort menyifatkan belanjawan tersebut sebagai belanjawan “Cakna” kepada keperluan rakyat.

Katanya, peruntukan pembangunan yang disediakan untuk Sabah dan Sarawak memerlukan pelaksanaan yang lebih efektif bagi mengelakkan sebarang ketirisan dan sasarannya mencapai matlamat dan jadual yang ditetapkan.

“ Jika ini dapat diselaraskan dengan baik dan teratur ianya akan mencapai sasaran yang diharapkan dan rakyat tidak akan menunggu lebih lama untuk melihat sebarang perubahan dari segi pembangunan insfrastruktur dan pembangunan yang lain,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *