Disyaki tumbuk isteri, pelakon ditahan polis

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 0 Second

CYBERJAYA Polis mengesahkan pelakon yang disyaki menumbuk isterinya di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Buloh ditahan semalam bagi membantu siasatan berhubung kejadian itu.

Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan berkata, pelakon berusia 29 tahun itu ditahan kira-kira 12 tengah hari ketika hadir di Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

Menurutnya, pelakon itu kemudian dibebaskan dengan jaminan polis sebaik selesai diambil keterangan pada petang hari sama, lapor Utusan Malaysia.
“Setakat ini, polis sudah mengambil keterangan mangsa (isteri pelakon itu), dua saksi dan suspek.

“Polis kemungkinan akan memanggil semula mangsa untuk diambil keterangan lanjut hari ini,” katanya.

Hussein berkata, polis juga sudah mendapatkan laporan awal perubatan mangsa dan disahkan mangsa mengalami kecederaan di pipi.

“Kita akan mendapatkan perintah mahkamah sementara pada esok bertujuan menghalang suami daripada melakukan perbuatan sama terhadap mangsa sementara siasatan dijalankan polis.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan isteri kepada pelakon itu membuat laporan polis kelmarin, mendakwa ditumbuk suaminya beberapa kali sehingga cedera di bahagian mata dalam kejadian Khamis lalu.

Mangsa berusia lingkungan 20-an itu membuat laporan berhubung kejadian itu di Balai Polis Jinjang, Kuala Lumpur pada 6.30 pagi.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *