HomeUtamaKGC bakal dapat manfaat pembangunan TAED

KGC bakal dapat manfaat pembangunan TAED

Read Time:2 Minute, 48 Second

KOTA KINABALU: Kelab golf tertua di Sabah iaitu Kinabalu Golf Club (KGC) bakal mendapat limpahan manfaat daripada pembangunan Tanjung Aru Eco Development (TAED).

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, pada masa yang sama, KGC akan memberi nilai tambah kepada TAED dan pembangunan sekitarnya.

“Seperti kita semua sedia maklum, Kerajaan Negeri akan meneruskan pembangunan TAED. Apabila TAED siap kelak beserta dengan pembangunan infrastruktur yang canggih dan moden, saya pasti KGC akan turut mendapat manfaat yang akan melonjakkan imej dan nilai keahlian KGC.

“Pada masa ini, KGC dizonkan sebagai ‘Green Belt” dan sudah tentunya kewujudan KGC akan memberi nilai tambah kepada TAED dan pembangunan sekitarnya,” katanya ketika merasmikan Hari KGC di kelab tersebut di Tanjung Aru, di sini, hari ini.
 
Dr. Joachim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) turut menyokong hasrat yang disuarakan oleh Presiden KGC, Datuk Joannes Solidau untuk berkerjasama dengan TAED bagi mendapatkan sokongan dan bantuan daripada Kerajaan Negeri untuk memberikan tanah bagi pembinaan 9 lubang lagi supaya KGC menjadi padang golf 18 lubang (18-hole golf course).

“Walaupun saya tidak mempunyai maklumat samada terdapat lagi kawasan tanah kerajaan yang berhampiran yang boleh dijadikan sebagai padang golf, tetapi saya secara peribadi amat menyokong cadangan tersebut. Apa yang penting adalah usaha dan perancangan yang baik dan konsisten daripada KGC.
 
“Dalam pengamatan saya, KGC mempunyai potensi baik untuk mengharumkan lagi reputasi Bandaraya Kota Kinabalu sebagai sebuah bandaraya yang sejahtera, menarik dan sebagai destinasi pelancongan dari luar dan dalam negara. Penganjuran kejohanan golf seperti KGC Open, Senior Open dan Ladies & Youth Open Golf Tournament sudah tentu boleh membantu Kerajaan Negeri dalam usaha meningkatkan lagi sektor pelancongan golf (golf tourism),” katanya.

Menurut beliau, KKTP melalui Pihak Berkuasa Tempatan di Sabah sedang berusaha untuk mengutamakan kebersihan dan keceriaan di setiap bandar dan pekan di seluruh Sabah.

“Usaha tersebut tidak akan mencapai matlamatnya tanpa kerjasama semua pihak termasuk kelab-kelab golf di seluruh Sabah. Oleh itu, saya mempunyai keyakinan tinggi kepada pihak pengurusan KGC dan ahli-ahli KGC untuk meneruskan program-program yang mampan bagi menyokong aspirasi Kerajaan Negeri dalam pemuliharaan dan kelestarian alam sekitar,” ujarnya.

Dr. Joachim yang juga merupakan ahli KGC turut berbangga dan mengalu-alukan usaha AJK KGC menganjurkan Hari KGC dan mengisinya dengan aktiviti menanam pokok, gotong-royong membersih dan menutup divot-divot di padang golf dan perasmian pembukaan Buggy Shed.

Selain itu, turut diadakan pertandingan golf 9 lubang menggunakan 3 batang kayu golf dan putter.

Hari KGC diadakan dengan objektif utamanya untuk memperingati penubuhannya yang telah dicatatkan pada bulan Mac 1933., iaitu 90 tahun yang lalu.

Kedudukan KGC yang berhampiran dengan laut dan Pusat Bandaraya Kota Kinabalu amat strategik dan menjadi aset utama bukan sahaja kepada kelab tersebut tetapi juga kepada Bandaraya Kota Kinabalu dan Negeri Sabah.

Terdahulu, Joannes dalam ucapannya berkata, selain untuk memperingati penubuhan KGC, Hari KGC juga bertujuan untuk memperbaharui dan meningkatkan semangat kerjasama dan silatulrahim di kalangan ahli yang terdiri daripada pelbagai kaum dan kepercayaan.

“Salah satu keunikan dan kebaikan KGC adalah kemesraan dan sikap toleransi yang tinggi dikalangan ahli-ahli KGC. Selama saya menjadi ahli KGC hampir 30 tahun, saya rasa selesa dengan suasana yang harmoni tanpa wujudnya diskriminasi dan amalan berpuak-puak. Suasana ini harus kita kekalkan dan pelihara supaya KGC terus menjadi sebuah Kelab Golf yang ideal dan pilihan terbaik,” katanya.

Beliau juga berterima kasih kepada semua yang menderma pokok dan bunga yang ditanam pada hari tersebut.

RELATED ARTICLES
Utama

Sabah FC juara Piala SMJ 2024

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya