HomeIsu tempatan70 guru sekolah menengah sertai latihan PDG

70 guru sekolah menengah sertai latihan PDG

Read Time:1 Minute, 16 Second

Kota Kinabalu: Seramai 70 guru sekolah menengah dari Sabah, Sarawak dan Labuan menyertai latihan Program Duta Guru (PDG) selama tiga hari anjuran Yayasan PETRONAS, di sini.

Program yang diadakan itu adalah bertujuan bagi memperkukuh keupayaan warga pendidik dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan PETRONAS Shariah Nelly Francis berkata, kemuncak latihan yang berakhir semalam dengan sesi bootcamp menyaksikan mereka mengambil bahagian dalam simulasi menggunakan metodologi Proses Reka Bentuk Kejuruteraan (EDP) untuk menghasilkan inovasi bagi menangani permasalahan berkaitan STEM di kalangan pelajar, sekolah mahupun komuniti.

“Melalui EDP, guru-guru ini bersumbangsaran, mengenal pasti penyataan masalah serta bekerjasama untuk membangunkan prototaip pembelajaran. EDP adalah langkah yang diperlukan untuk mereka merangka dan melengkapkan Modul Inovasi STEM.

“Latihan PDG, khususnya bootcamp EDP hari ini (semalam) memastikan Duta Guru kita memiliki pengetahuan dan sumber yang diperlukan untuk mengajar mata pelajaran STEM dengan berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penutupan Latihan Wilayah PDG Kohort tiga di sini semalam.

Shariah berkata, ia juga merupakan faktor utama dalam memastikan golongan pendidik ini dapat membawa pengalaman mereka kepada pelajar, sekolah dan komuniti, serta memupuk kemahiran bagi menangani keperluan masa hadapan yang pastinya akan dipacu oleh sains dan teknologi.

Memperkasakan ilmu melalui PDG yang bertujuan mengukuhkan keupayaan seramai 4,500 guru STEM di sekolah yang mempunyai majoriti pelajar B40 menjelang 2030 merupakan kerjasama antara Yayasan PETRONAS dan Kementerian Pendidikan, melalui Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan.

Sejak pelancaran PDG pada 2019, lebih 250 guru telah dilatih dalam program pembangunan selama dua tahun itu. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Maritim Malaysia tahan bot tunda tangkap ikan di zon larangan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular