Akademi SAFA diperluaskan di semua daerah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 23 Second

Kota Kinabalu : Akademi Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) akan diperluaskan ke peringkat lapan Zon persatuan itu yang melibatkan 32 daerah di seluruh negeri.

Pengarah Akademi SAFA Azman Mastar berkata, sebaik dilancarkan Sabtu ini, akademi yang melibatkan pelatih bawah 12,14 dan 16 tahun itu akan turut diwujudkan di peringkat zon persatuan seterusnya ke daerah-daerah.

“Kita akan melancarkan akademi bola sepak ini di ibu negeri namun SAFA akan memperluaskan di semua zon yang membabitkan 32 daerah.

“Perasmian akan disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Ir Shahelmey Yahya Sabtu ini di padang SAFA,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Azman berkata, perancangan untuk mewujudkan akademi itu dibuat susulan kerjasama di antara Majlis Sukan Negara (MSN) dan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) sebelum ini.

“SAFA telah menandatangani memorandum persefahaman dengan MSN dan JPNS untuk menjayakan program pembangunan bola sepak di negeri ini.

“Hasil daripada itu, SAFA telah memutuskan untuk mewujudkan akademi ini untuk pembangunan bola sepak jangka masa panjang,” katanya.

Pengarah akademi itu juga mengumumkan pelantikan tiga bekas pemain kebangsaan, Datuk James Wong, Datuk Hassan Sani dan Matlan Marjan sebagai ikon pelatih-pelatih tiga kategori umur tersebut.

Katanya, James menjadi ikon B16 akademi itu, Hassan (B14) dan Matlan (B12).Tambahnya, pemilihan ketiga-tiga pemain legenda itu sebagai sebahagian usaha SAFA untuk mengenangkan jasa mereka dalam bola sepak di Sabah dan negara.

James dan Hassan merupakan gandingan mantap yang membawa kejayaan kepada skuad negara untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik pada tahun 1980 selepas menewaskan Korea Selatan 2-1.

Manakala Matlan pernah menjadi ketua pasukan skuad kebangsaan ketika menentang pasukan England dalam satu perlawanan persahabatan yang berkesudahan 2-4 pada 1991, menyaksikan Matlan menjaringkan kedua-dua gol Malaysia. – SABAH MEDIA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *