HomeUtama'Feel Sabah, North Borneo' slogan pelancongan terbaharu Sabah

‘Feel Sabah, North Borneo’ slogan pelancongan terbaharu Sabah

Read Time:1 Minute, 41 Second

Berlin : Sabah menjenamakan semula slogan pelancongan negeri itu kepada ‘Feel Sabah, North Borneo’ yang dilihat mempunyai sentimental dan sejarah tersendiri.

Penjenamaan semula itu dilancarkan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Christina Liew dalam satu acara pameran perdagangan pelancongan terbesar dunia di Messe Berlin di sini semalam.

‘Feel Sabah’ telah dicetuskan ideanya oleh Lembaga Pelancongan Sabah (STB) manakala idea menggabungkan ‘North Borneo’ telah diberikan oleh Christina sendiri menjadikan slogan mempromosi Sabah itu kepada ‘Feel Sabah, North Borneo’.

Christina berkata, pihaknya mahu pelancong antarabangsa mengetahui bahawa Sabah terletak di bahagian utara Pulau Borneo dengan harapan dapat menarik lebih ramai pelancong Eropah dan negara lain.

“Nama ‘Borneo Utara’ (kini Sabah) kedengaran eksotik dan membangkitkan perasaan nostalgia kerinduan untuk destinasi ini. Ia juga mempunyai kepentingan sejarah kerana Sabah ketika itu dikenali sebagai ‘Borneo Utara’ sebelum mencapai Kemerdekaan kita pada 1963.

“Orang ramai kebanyakannya tidak pernah mendengar mengenai Sabah meskipun sudah berdekad mempromosikan slogan ‘Land Below The Wind’ ini kepada dunia luar, apatah lagi mengetahui kepelbagaian tarikan semula jadi dan hidupan liar ikonik kita,” katanya dalam kenyataan di sini.

Christina berkata, pihaknya berazam untuk menjenamakan semula destinasi pelancongan ini dengan ‘Feel Sabah, Borneo Utara’ untuk mewujudkan identiti baharu dalam pasaran pelancongan.

Sabah merupakan destinasi pelancongan yang penuh dengan keajaiban semula jadi yang menakjubkan seperti Gunung Kinabalu, Lembangan Maliau dan Tip of Borneo.

Terdahulu, delegasi Sabah ke program itu turut disertai Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Joniston Bangkuai; Setiausaha Tetap Kementerian Datuk Mohd Yusrie Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif STB Noredah Othman.

Dalam pada itu, mengenai penyambungan semula penerbangan terus antarabangsa baru-baru ini, Christina berkata,  Sabah menyasarkan seramai 2.2 juta ketibaan pelancongan untuk tahun ini dan akan berusaha ke arah mencapai 2.5 juta ketibaan. 

“Jika kita mencapai paras 2.5 juta, ini akan menunjukkan peningkatan berbanding 1.72 juta ketibaan pada 2022,” katanya.

Tambahnya, pihaknya turut merancang untuk meneroka prospek bagi menarik pelancong dari pasaran pelancongan baharu di Amerika, Australia, Jepun dan India menerusi jerayawara pelancongan oleh STB. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

DUN Sabah : SDB agresif dalam usaha struktur, pulihkan hutang lapuk

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya