Cubaan seludup daging khinzir bernilai RM300,000 di Tawau tumpas

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 54 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Tawau berjaya merampas satu kontena berisi daging khinzir bernilai lebih RM300,000 dengan anggaran duti serta cukai berjumlah lebih RM65,000, disyaki cuba diseludup masuk ke dalam negara melalui pelabuhan Tawau pada Isnin. (6 Mac)

Timbalan Menteri Kewangan I Malaysia, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, semalam, sepasukan anggota JKDM daripada Bahagian Penguatkuasaan Tawau dengan kerjasama Cawangan Import Eksport Pelabuhan Tawau telah berjaya menahan satu kontena berisi Daging Khinzir yang disyaki cuba diseludup masuk ke dalam negara dengan anggaran nilai RM 300,000.00. Manakala anggaran jumlah nilai duti dan cukai terlibat adalah sebanyak RM 65,700.00.

Katanya, pasukan anggota bertindak menahan kontena tersebut berdasarkan hasil penilaian risiko dan imbasan mesin pengimbas di pintu masuk pelabuhan Tawau.

“Hasil penelitian dan penilaian risiko melalui manifest, mendapati kontena daripada Hong Kong yang ditahan diikrar sebagai mengandungi Potato French Fries. Hasil pemeriksaan mesin pengimbas, menunjukkan imej yang meragukan.

“Oleh yang demikian, pemeriksaan fizikal telah dilaksanakan dan mendapati terdapat dua jenis barang di dalam kontena tersebut iaitu. Potato French Fries dan Daging Khinzir. Namun barang yang diikrar hanya Potato French Fries,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke kaunter Pemeriksaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu di sini, hari ini.

Menurutnya, kes disiasat di bawah seksyen 135 (1)(a) akta Kastam 1967.

Sehubungan itu, beliau menyeru kepada orang ramai supaya membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah dan barang yang tertakluk kepada Duti dan Cukai serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut.

“Orang awam juga diminta untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1- 800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Maslan turut memaklumkan pungutan hasil bagi negeri Sabah dalam tahun 2022 (Jan – Dis) telah berjaya mengutip sebanyak RM1.791 bilion iaitu termasuk jumlah keseluruhan hasil Sales dan Services Tax (SST) dan Perkastaman.

“Kita berharap agar pada tahun ini, pencapaian ini boleh bertambah kerana kita meminta semua pihak Kastam di seluruh Malaysia meningkatkan pungutan hasil bagi memastikan apa yang kita hasratkan untuk membantu rakyat daripada hasil-hasil itu boleh dicapai,” katanya.

Hadir sama semasa lawatan itu Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah Mohd Nasir Deraman.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *