HomeUtamaBantu tiga daerah termiskin antara fokus KKDW bantu Sabah - Ahmad Zahid

Bantu tiga daerah termiskin antara fokus KKDW bantu Sabah – Ahmad Zahid

Read Time:2 Minute, 4 Second

BERNAMA
Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

Kota Kinabalu : Membantu Pitas, Kota Marudu dan Tongod yang merupakan tiga daerah termiskin di Sabah, merupakan antara fokus Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) membantu Negeri di Bawah Bayu itu.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihak Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor sendiri telah menyuarakan saranan, supaya KKDW dapat membantu tiga daerah itu termasuk daripada segi pembangunan projek desa melibatkan prasarana dan kemudahan utiliti.

Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata gerak kerja perlaksanaan itu sedang diteliti KKDW bersama Kerajaan Sabah, dalam jawatankuasa teknikal antara dua pihak itu yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Seri Safar Untong.

“Kami di KKDW pastinya akan laksanakan melalui perbincangan dengan Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan, bagi realisasikan hasrat kerajaan negeri untuk memfokuskan tiga daerah ini keluar daripada kelompok miskin tegar antara daerah termiskin di Sabah,” kata di sini hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat penyelarasan KKDW  bersama Kerajaan Sabah Tahun 2023 di sini yang turut dihadiri Hajiji.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata jawatankuasa teknikal KKDW dan Kerajaan Sabah itu juga memainkan peranan, dalam usaha menyelaras peruntukan yang disalurkan kepada negeri itu supaya peruntukan itu dapat diterima secepat mungkin dan projek terlibat dilaksana secara berkesan.

Beliau berkata menerusi Belanjawan 2023 dibentang pada 24 Feb lalu, Sabah memperoleh pelbagai peruntukan, justeru penyelarasan dibuat KKDW dan Kerajaan Sabah bagi memastikan projek terlibat  berjalan lancar.

“Penyelarasan ini melibatkan ketua jabatan di kementerian serta agensi Sabah serta pihak kami (KKDW), ini adalah sesuatu yang dilaksanakan supaya perlaksanaan (projek) dapat dirasakan oleh rakyat Sabah dengan segera mungkin,” katanya.

Ahmad Zahid berkata selain membantu tiga daerah termiskin dan penyelarasan itu, perkara utama yang telah dikenal pasti adalah soal keterjaminan makanan, dengan inisiatif estet padi akan dilaksanakan di Sabah bagi memastikan bekalan makanan utama dapat dikeluarkan secara sendiri oleh negeri itu.

“Ia bagi penggunaan tempatan dalam masa sama menjadi ‘stockpile’ bagi memastikan bekalan itu ada dalam masa diperlukan…Felcra (Felcra Berhad) mempunyai modaliti perlaksanaan estet padi ini seperti mana dilaksanakan di Seberang Perak.

“Penduduk kampung terlibat sebagai pemegang saham dalam estet itu dengan memperoleh dividen, mereka juga terlibat dalam guna tenaga sebagai pekerja estet padi itu dan kawasan perumahan disediakan Felcra untuk mereka supaya ada kawasan pembangunan ekonomi baharu di kawasan itu,” katanya.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid berkata beliau menyerahkan kepada Hajiji dan Kerajaan Negeri untuk mengumumkan perincian inisiatif estet padi itu termasuk kawasan yang terlibat setelah penelitian terhadap perkara itu selesai dilakukan. – BERNAMA

RELATED ARTICLES
PendapatUtama

Implikasi dan Cabaran Malaysia Sebagai Pasaran Pusat Data Ketiga Terbesar Asia

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular