HomeSukanKBS tawar dana naik taraf rumput padang bola di setiap negeri

KBS tawar dana naik taraf rumput padang bola di setiap negeri

Read Time:1 Minute, 21 Second

BERNAMA

Kuala Lumpur : Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menawarkan peruntukan melalui dana geran padanan kepada semua Exco belia dan sukan negeri bagi menaik taraf padang bola sepak dengan penanaman rumput jenis Zeon Zoysia di padang yang terpilih.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, tawaran itu dibuat ketika mesyuarat pertama KBS bersama Exco setiap negeri yang diadakan Januari lepas dan kini pihaknya sedang menunggu maklum balas setiap wakil negeri yang dijangka akan disampaikan dalam mesyuarat kedua akan datang.

Beliau berkata, setiap negeri perlu memilih satu stadium bagi projek menaik taraf padang itu dan menjalankan penyelenggaraan awal sebelum pihaknya meluluskan peruntukan tersebut.

“Mereka perlu selenggara padang yang dipilih itu dulu untuk pastikan saliran air semua okay, selepas itu dibaiki, baru KBS beri peruntukan tanam rumput,” katanya kepada pemberita ketika melawat sesi latihan terakhir skuad Malayan Tigress di Padang Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) di sini semalam.

Bagaimanapun, Yeoh berkata, penyelenggaraan tahunan padang berkenaan adalah menjadi tanggungjawab kerajaan negeri masing-masing sekiranya mereka memilih untuk menerima tawaran itu.

“Bukan semua negeri nak rumput ini dan bukan semua negeri mampu untuk selenggara, sebab itu kita tunggu maklum balas,” katanya.

Sementara itu, Yeoh berkata KBS akan terus menyokong pembangunan akar umbi bola sepak wanita dari segi infrastruktur dan peruntukan untuk tempoh lima tahun akan datang.

“Yang paling penting, mereka mesti diberi peluang untuk menonjolkan prestasi dan kemahiran masing-masing supaya bola sepak dan pasukan wanita sinonim, tidak rasa ganjil, stereotaip itu yang perlu dibuang.

“Sempena Hari Wanita esok, simbolik saya datang (hari ini) untuk memaklumkan kepada semua wanita di Malaysia (bahawa) wanita dalam sukan mesti diberi peluang semuanya untuk mereka mencari bakat dan berjaya,” katanya. – BERNAMA

RELATED ARTICLES
Sukan

PTBNS B juara pertandingan boling trio wanita

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular