HomeUtamaTujuh Pengakap Kelana A Sembulan berjaya tamatkan Misi Pengembaraan Berjalan Kaki 60KM

Tujuh Pengakap Kelana A Sembulan berjaya tamatkan Misi Pengembaraan Berjalan Kaki 60KM

Read Time:5 Minute, 48 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Seramai tujuh ahli Pengakap Kelana A (Arrow) Daerah Sembulan telah berjaya menamatkan Kem Pengembaraan Berjalan Kaki 60 Kilometer selama tiga hari bermula 11 Mac hingga 13 Mac 2023.

Dari kiri Mikhael, Jessica, Aisyah, Baby, Syariena, Amanda dan Christian.

Tujuh pengakap tersebut terdiri daripada lima orang perempuan dan dua lelaki iaitu Pengarah Program Amanda Erianna Ambrose, 24, Eleazar Mikhael Edward, 24, Aisyah Nadiah Yunus, 23, Jessica Wong Yee Ven, 23, Christian Lopez Lawrence, 23, Baby Nur Izzah Syahirah Jumatin, 23, dan Dayang Syariena Ahmad Rosdin, 21.

Tujuh Pengakap Kelana (A) Sembulan melalui jalan sekitar Bandaraya Kota Kinabalu pada hari ke-3 penamat misi Pengembaraan Berjalan Kaki 60 Kilometer semalam.

Objektif Kem Pengembaraan Berjalan Kaki 60 kilometer ini merupakan syarat bagi membolehkan seseorang ahli Pengakap Kelana itu mendapatkan Lencana Pengembaraan iaitu salah satu lencana wajib bagi mendapatkan Anugerah BP (Baden- Powell), anugerah tertinggi bagi seorang Pengakap Kelana.

Pengarah Program Amanda Erianna Ambrose.

Amanda selaku pengarah program berkata, seramai tujuh orang peserta telah berjaya menamatkan pengembaraan berjalan kaki sejauh 60km dengan melalui beberapa daerah di sekitar Kota Kinabalu.

“Antara daerah yang kami lalui selain bermula dari BP House Sembulan, seterusnya kami ke Kepayan, Putatan, Penampang dan Likas, selepas itu kembali ke BP House Sembulan lokasi penamat untuk program ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mereka berjaya menamatkan ekspedisi.

Amanda berkata, banyak cabaran yang telah mereka hadapi sepanjang ekspedisi itu yang menguji ketahanan mental, fizikal dan emosi mereka. Selain itu mereka juga telah menjalankan aktiviti khidmat masyarakat sebagai salah satu tugasan wajib yang perlu dilaksanakan iaitu membantu membersihkan kawasan bangunan Taman Hidupan Liar Lok Kawi.

“Sangat banyak cabaran yang kami lalui… Selain dari cuaca yang panas, jalan bandar di sini biasanya tidak ada laluan yang khusus untuk pejalan kaki, jadi kami terpaksa berjalan betul-betul di atas garisan tepi jalan raya.

“Memang berisiko walaupun kami berjalan bertentangan dengan laluan kenderaan, kalau lori besar lalu, kami merasa seperti seakan terbuang ke tepi dan habuk-habuk turut berterbangan ke muka kami. Membuatkan mata kami pedih dan bersin tidak berhenti,” katanya.

Antara laluan yang sangat mencabar katanya, di kawasan lebuh raya Pan Borneo, Jalan Papar – Kota Kinabalu.

“Lebuh raya Pan Borneo memang tiada tempat laluan pejalan kaki, kami perlu sangat berhati-hati semasa melaluinya dan ia memang berisiko besar terjadinya kemalangan atau terlanggar.

“Jadi kami perlu sentiasa peka kepada keadaan sekeliling dan berhati-hati untuk mengelak sebarang perkara yang tidak diingini,” jelasnya.

Amanda berkata, cabaran kedua iaitu setiap ahli terpaksa memikul beban atau barang keperluan yang mesti dibawa bersama seberat lebih 10 kilogram dengan berpakaian uniform pengakap lengkap.

“Ia adalah bebanan yang sangat berat, bagaimanapun kami terpaksa galas bersama kerana ia merupakan barangan penting untuk kegunaan sepanjang tiga hari ekpedisi ini termasuklah pakaian, makanan, peralatan memasak dan keperluan lain.

“Jadi untuk menyertai program ini memang memerlukan ketahanan mental dan fizikal yang sangat kuat. Saya rasa sangat bersyukur kerana saya mempunyai tujuh ahli kumpulan yang mempunyai semangat berpasukan sangat kuat walaupun dari segi fizikal, mental dan emosi kami sudah semakin lemah tapi kekuatan masing-masing dengan memberi kata-kata semangat antara satu sama lain supaya jangan putus asa,” katanya.

Katanya, semangat berpasukan mereka sangat tinggi dan inilah yang memainkan peranan sehingga mereka berjaya menamatkan misi pengembaraan berjalan kaki 60 kilometer ini.

“Saya sangat terharu, saya fikir bila sudah emosi kami tercabar semasa menjalankan pengembaraan ini akan ada pergaduhan sebaliknya semua ketujuh-tujuh ahli kumpulan tetap menyokong, ada toleransi antara satu sama lain walau apapun keadaan, jadi itulah kekuatan kami untuk sama-sama sampai ke garisan penamat,” tambahnya.

Amanda turut menyeru kepada belia-belia diluar sana sekiranya belum ada persatuan beliau menggalakkan mereka menyertai pengakap.

Katanya, pengakap ini bukan sahaja fokus kepada lencana tapi banyak aktiviti kesukarelawan dan motto pengakap itu sendiri pun ‘Berkhidmat’ jadi bukan saja berkhidmat kepada diri sendiri tetapi juga kepada masyarakat, orang sekeliling dan juga keluarga.

“Banyak benda yang pengakap ajar, saya mahu orang lainpun punya pengalaman seperti apa yang kami perolehi dalam pengakap ini kenapa kami begitu tertarik dan berminat dalam dunia pengakap ini malah ada yang sampai umur 50 lebih pun masih lagi aktif dalam berpengakap,” ujarnya.

Amanda turut berterima kasih kepada pihak pengurusan Gereja St Agustine Kinarut dan SMK St Francis Convent, Bukit Padang dan memberikan kerjasama yang baik kerana membenarkan peserta bermalam di perkarangan bangunan berkenaan.

Pesuruhjaya Pengakap Daerah Sembulan Suzian Mustapha.

Sementara itu, Pesuruhjaya Pengakap Daerah Sembulan Suzian Mustapha meluahkan rasa bangga dengan pasukan ketujuh-tujuh ahli Pengakap Kelana A Daerah Sembulan yang berjaya menamatkan misi Pengembaraan Berjalan Kaki 60 kilometer selain berjaya menyelesaikan tugasan-tugasan yang diberikan sepanjang tiga hari pengembaraan.

“Saya turut bangga, mereka berjaya menamatkan misi pengembaraan, sebenarnya program ini adalah untuk mendapatkan lencana pengembaraan di mana salah satu lencana wajib untuk mereka mendapatkan Anugerah Baden-Powell, ia mempunyai empat lencana terdiri dari tiga lencana wajib iaitu lencana kemahiran, pengembaraan dan juga perkhidmatan manakala keempat lencana pilihan sama ada lencana kepimpinan, ICT ataupun keusahawanan atau beberapa pilihan lagi,” katanya semasa menyambut ketibaan pasukan Pengakap Kelana A di garisan penamat di BP House Sembulan semalam.

Menurut Suzian, sebenarnya ada lapan orang peserta kesemuanya tetapi seorang daripadanya mengalami masalah kesihatan pada hari pertama dan tidak dapat meneruskan perjalanan.

“Sepanjang pemantauan saya, memang saya melihat mereka ada yang sakit badan, kaki dan emosi tapi sekurang-kurangnya mereka masih bersatu hati dengan semangat berpasukan yang tinggi, akhirnya mereka berjaya sampai ke garisan penamat walaupun mereka mengalami kaki blister (melepuh/luka).

“Semangat sedemikian perlu diterapkan kepada belia-belia yang ada di negeri ini supaya mengaktifkan diri dalam aktiviti aktiviti yang bermanfaat tidak terlampau bergantung bermain gadget yang menjadikan aktiviti sebegini sudah berkurangan, jadi kita berharap belia di luar sana agar mula bergiat aktif sama ada dalam apa juga persatuan atau sukan, lakukanlah aktiviti di luar bukan sahaja tertumpu aktiviti dalam dewan sahaja,” katanya.

Suzian turut memberitahu program yang dijalankan juga adalah mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan, manakala pihak berwajib juga dimaklumkan sebelum program dijalankan seperti Balai Polis Papar, Balai Polis Daerah Kota Kinabalu, Hospital Likas dan pihak pengurusan di lokasi untuk khidmat masyarakat.

Ketua Unit Bahagian Pengurusan Pelawat Zoo Hidupan Liar Lok Kawi, Abdul Malik Rashid (tengah) menerima cendera kenangan daripada Pengarah Program Amanda Erianna Ambrose.

Sehubungan dengan itu, reaksi daripada Ketua Unit Bahagian Pengurusan Pelawat Zoo Hidupan Liar Lok Kawi, Abdul Malik Rashid berkata, beliau mencadangkan belia-belia yang ada di Sabah ini supaya turut serta berpersatuan dan mengikuti aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh persatuan khususnya dalam aktiviti kemasyarakatan.

“Program ini sebenarnya bagus untuk belia-belia sekarang ini sebab melalui berpersatuan ini mereka akan lebih banyak menumpukan masa, kalau pun mereka melepak dengan membuang masa adalah lebih baik mereka menyumbangkan tenaga mereka, di sini mereka akan dapat membina karakter mereka, dan mungkin di sini secara tidak langsung idea dan pemikiran mereka sudah ada dan kita akan sentiasa saling membantu untuk memajukan belia-belia ini,” katanya sambil menambah meluahkan penghargaan dan terima kasih kepada pasukan Pengakap Kelana A Daerah Sembulan kerana memilih Zoo Hidupan Liar Lok Kawi untuk menjalankan khidmat masyarakat di situ.

RELATED ARTICLES
Utama

SPRM Sabah tahan pasangan suami isteri bekas CEO & pengarah syarikat...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular