HomeUtamaJIM Sabah hantar pulang 653 PATI warga Filipina ke negara asal

JIM Sabah hantar pulang 653 PATI warga Filipina ke negara asal

Read Time:2 Minute, 20 Second

KOTA KINABALU: Seramai 653 orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warganegara Filipina yang ditahan di Depot Imigresen Kota Kinabalu, Depot Imigresen Papar dan Depot Imigresen Tawau berjaya dihantar pulang ke negara asal melalui jalan laut hari ini.

Pengarah Imigresen Negeri Sabah Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, kesemua PATI dihantar pulang melalui jalan laut dari Pelabuhan Sandakan Ke Pelabuhan Zamboanga City, Filipina.

Katanya, Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah (JIM Sabah) melaksanakan Program Pemindahan Tahanan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) siri 7 untuk kategori Usir melalui laut bagi tahun 2023 merupakan program pemindahan dalam bulan Mac bagi warganegara Filipina.

“Pecahan tahanan yang diusir pada hari ini ialah tahanan lelaki seramai 439 orang, Wanita 145 orang, kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah, 64 orang dan lima orang kanak-kanak berumur 23 bulan ke bawah,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut Sh Sitti Saleha, jumlah pecahan mengikut umur bagi kanak-kanak dalam pengusiran kali ini adalah melibatkan lima orang bagi kanak-kanak 23 bulan ke bawah dan 64 orang bagi kanak-kanak 12 tahun ke bawah. Bagi tahanan dewasa purata umur adalah dari 13 tahun sehingga 68 tahun. Kanak-kanak yang terlibat dengan penghantaran pulang adalah bersama ibu/ bapa/ penjaga masing-masing.

Beliau berkata, kesemua tahanan pada kali ini diusir melalui laut dengan menggunakan pengangkutan Feri MV Antonia 1.

“Walaubagaimana pun, tahanan PATI yang terlibat pada kali ini hanyalah tahanan warganegara Filipina dari Depot Imigresen Kota Kinabalu, Depot Imigresen Papar dan Depot Imigresen Tawau sahaja,” katanya.

Beliau turut menjelaskan kesemua PATI yang ditahan di Depot Imigresen telah melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Hukuman yang dikenakan adalah berdasarkan Akta Imigresen dan proses perundangan negara sehingga ke tindakan pemindahan keluar dari negara,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan semua warga asing memastikan mereka memiliki dokumen perjalanan yang sah dan permit kerja yang dibenarkan (untuk bekerja di Negeri Sabah, Malaysia) terlebih dahulu sebelum masuk ke negara ini.

Katanya, semua agensi penguatkuasaan di negeri Sabah akan sentiasa mengambil tindakan tegas kepada mereka yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang negara.

“Operasi Pemindahan ini adalah merupakan sebahagian daripada operasi berterusan yang dilakukan oleh JIM Sabah bagi tahanan warga asing yang ditempatkan di semua Depot Imigresen di seluruh Negeri Sabah.

“Jabatan ini ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi pengusiran ini khususnya Kerajaan Negeri Sabah, pihak Kedutaan Filipina di Kuala Lumpur, PDRM, ESSCOM, Lembaga Pelabuhan dan Dermaga Negeri Sabah, Jabatan Laut Malaysia Negeri Sabah, APMM, ATB2, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Negeri Sabah.

“JIM Sabah akan terus komited melakukan operasi penguatkuasaan dan pemindahan PATI setelah mereka melalui semua tindakan penguatkuasaan dan proses perundangan negara serta telah mendapat pengesahan daripada kedutaan negara asal masing-masing,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Pindaan Ordinan Buruh Sabah diluluskan selepas 20 tahun

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular