Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Kota Kinabalu : Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) akan terus memantau bekalan air yang disalurkan ke seluruh negeri selepas isu air masin di Sandakan ditimbulkan baru-baru ini.
Pengarah JKNS Datuk Dr Rose Nani Mudin berkata, sehingga kini masih belum ada kes yang dilaporkan berkaitan dengan masalah kesihatan membabitkan isu berkenaan.
“Kita masih menunggu keputusan penuh berhubung sampel air terbabit dari makmal kimia dan dalam masa sama kita akan terus membuat pemantauan berterusan berhubungan isu berkenaan.
“Bagaimanapun setakat ini masih belum ada kes berkaitan yang maksudnya kesan lama belum ada, tetapi pemantauan di seluruh negeri akan dibuat bukan sahaja di Sandakan,” katanya di sini baru-baru ini.
Dr Rose Nani berkata, pihaknya turut bimbang sekiranya pencemaran itu berlaku dalam tempoh panjang dan akan memaatikan ianya tidak berlarutan.
“Jika pencemaran berlaku dalam jangka pendek, mungkin tidak ada. Cuma kita bimbang pencemaran itu berlaku dalam jangka panjang.
“Oleh sebab itu, kita akan terus pantau setiap minggu agar pencemaran ini tidak berpanjangan,” katanya.
Sebelum ini, masalah air masin di Sandakan telah berlarutan selama empat bulan sehingga ke hari ini. – SABAH MEDIA