HomeEkonomiKerajaan telah laksanakan Fasa 1 DIIP & Tiga Data Hub

Kerajaan telah laksanakan Fasa 1 DIIP & Tiga Data Hub

Read Time:3 Minute, 3 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan telah selesai melaksanakan Fasa 1 Inisiatif Kerajaan Digital bagi “Data Integration and Interchange Platform” (DIIP) dan Tiga Data Hub iaitu People Hub, Business Hub dan Geo Hub, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Katanya, ‘People Hub’ merupakan pemboleh daya untuk kelancaran integrasi data merentas agensi melalui satu sumber asal yang sahih demi mencapai pendekatan perkhidmatan agensi kerajaan dengan lebih holistik dan berpaksikan rakyat.

Menurutnya, untuk memperkembangkan potensi penggunaan ‘Biz Hub’, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan empat perkhidmatan atas talian iaitu BizSabah Portal untuk memberi maklumat keusahawanan bagi setiap daerah, Penilaian Environment Social Governance (ESG) Sustainability Assessment untuk golongan SME. Virtual Engagement Platform (VEP) untuk pepadanan perniagaan (B2B Matching) dan SabahTAMU untuk mempromosi dan merangsangkan pertumbuhan pasaran digital di Sabah.

“Manakala ‘Geo Hub’ membolehkan pemetaan dan analysis geospatial bagi pelbagai tujuan dan pemantauan aktiviti dengan rujukan geospatial dan peta satelite. Fasa 1 bagi ‘DIIP’ dan ketiga-tiga ‘hub’ ini telah selasai dilaksanakan”, katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pembukaan rasmi CelcomDigi Business Tech Week di Sabah International Convention Centre (SICC), hari ini.

Teks ucapan Hajiji dibacakan oleh Menteri Kewangan Negeri, Datuk Seri Masidi Manjun.

Hajiji berkata, Kerajaan Negeri sentiasa komited dalam memantapkan penyampaian perkhidmatannya dengan mengukuhkan pentadbiran dan kelengkapan peralatan digital anggota perkhidmatan.

“Justeru, Kerajaan Negeri akan memastikan jentera kerajaan terus bekerja dalam suasana 5A iaitu Available At Anytime, Anywhere with Any mobile Device, serta akan memastikan pemasangan kemudahan wifi di semua premis kerajaan dengan keselamatan siber Kerajaan Negeri sentiasa terjamin daripada pencerobohan dan penggodaman.

“Menerusi usaha itu, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI) melalui Jabatan Perkhidmatan Komputer (JPKN) dan juga Sabah Net akan memastikan pendigitalan di negeri Sabah diperkembangankan secara konsisten melalui pelbagai perancangan dan program pendigitalan,” katanya.

Beliau berkata, JPKN akan terus membangunkan sistem aplikasi untuk agensi-agensi Kerajaan Negeri dan dijangkakan sebanyak 30 sistem aplikasi yang bercirikan “End-To- End” akan dibangunkan.

Selain itu katanya, infrastruktur rangkaian internet di semua premis kerajaan akan terus dimantapkan dengan pemasangan talian jalur lebar selaras dengan perluasan pemasangan rangkaian gentian optik di seluruh negeri, serta akan merancakkan penggunaan solusi pengkomputeran awan selaras dengan MyDigital Economy Blueprint.

“Manakala Sabah Net meneruskan kerja menaik taraf di semua 749 pejabat kerajaan negeri kepada rangkaian fiber dengan kelajuan minimum 100Mbps sehingga tahun 2025. Pusat Data Sabah Net yang mempunyai kuasa kapasiti tinggi adalah pengehosan utama bagi aplikasi perkhidmatan kerajaan negeri.

“Bagi peningkatan keselamatan siber, Sabah Net meneruskan usaha dalam menaiktarafkan sistem keselamatan siber menggunakan teknologi yang terbaharu. Peningkatan ini akan memperkukuhkan perlindungan keselamatan siber agar kerajaan boleh beroperasi secara fleksibel di mana-mana sahaja”, katanya.

Sehubungan dengan itu beliau berkata, Sabah Net akan berkolaborasi dengan pihak berkuasa dan pembekal perkhidmatan keselamatan siber yang berkaliber di Malaysia untuk menjadikan Sabah sebagai pusat pembangunan modal insan dalam bidang keselamatan siber.

“Sabah Net juga telah menaik taraf portal layan diri untuk membolehkan pengguna kerajaan mengurus log masuk e-mel mereka dengan sendiri sepenuhnya, selain akan menjadi one stop centre untuk perkhidmatan pengkomputeran awan,” tambahnya.

Menurutnya, dalam mempertingkatkan tahap kesalinghubungan serta kualiti perkhidmatan jalur lebar di Sabah, Kerajaan Negeri melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia akan menambah pembinaan menara baharu, penaiktarafan stesen pemancar sedia ada kepada 4G dan menaiktaraf Pusat Internet Desa (PID) kepada Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDI).

“KSTI juga akan memasang kemudahan internet teknologi satelit (VSAT) di 300 lokasi yang dikenalpasti pada tahun 2023, manakala Kementerian Komunikasi dan Multimedia juga turut bersetuju untuk memasang 300 buah VSAT di Sabah di lokasi-lokasi yang tidak termasuk di bawah program JENDELA.

“Kesemua perancangan serta program-program pendigitalan yang dilaksanakan kerajaan negeri ini adalah memastikan bukan sahaja dalam meningkatkan dan menambahbaikan sistem perkhidmatan awam negeri Sabah, malah sebagai pemangkin untuk mempercepatkan transformasi digital di negeri Sabah”, tegasnya.

RELATED ARTICLES
Utama

DUN Sabah : SDB agresif dalam usaha struktur, pulihkan hutang lapuk

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya