Polis tahan suami isteri disyaki terbabit kes amang seksual

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 1 Second

ARAU: Seorang lelaki dan isterinya yang juga pengendali sebuah rumah kebajikan kanak-kanak di Perlis ditahan polis bagi membantu siasatan kes amang seksual membabitkan seorang daripada penghuni rumah kebajikan berkenaan.

Sumber berkata, kedua-dua suspek yang dipercayai berusia dalam lingkungan 50-an direman sejak minggu lalu.

“Difahamkan, kejadian berlaku di rumah suspek di Jejawi, Arau dan mangsa berusia 20 tahun serta masih berada di bawah perintah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis lapor Berita Harian

“Kejadian pula dilaporkan oleh mangsa sendiri yang tampil membuat laporan polis awal bulan ini dan tidak dapat dipastikan sama ada perlakuan seksual itu sudah berlaku sejak sekian lama ketika mangsa masih berada di bawah usia ketika itu atau tidak,” katanya.

Ketua Polis Daerah Arau, Superitendan Ahmad Mohsin Md Rodi ketika dihubungi mengesahkan penangkapan suspek. 

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 kerana amang seksual. 

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai perkembangan kes berkenaan kerana siasatan masih diteruskan.

Sementara itu, tinjauan di rumah kebajikan itu mendapati penghuninya sudah dipindahkan ke beberapa kemudahan rumah perlindungan kanak-kanak JKM Perlis di negeri itu.

Pengarah JKM Perlis, Ku Chik Ku Mat Esa ketika dihubungi turut tidak mahu mengulas lanjut perkembangan kes berkenaan.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *