Mahkamah Syariah Papar siap Ogos tahun depan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 4 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

Papar: Bangunan Mahkamah Syariah Daerah Papar yang diluluskan Kerajaan Persekutuan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe11) dijangka siap pada 25 Ogos 2024.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, projek itu telah diluluskan pada 2018 namun terdapat sedikit kelewatan yang berpunca daripada isu kesesuaian lokasi. 

Katanya, agensi pelaksana projek ini adalah Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia dan JKR Sabah.

“Tapak yang dikenal pasti adalah kawasan berpaya atau berair yang melibatkan implikasi kewangan tambahan.

“Kerajaan Persekutuan telah bersetuju untuk meluluskan tambahan kos siling projek sebanyak RM3.5 juta dan nilai terkini keseluruhan projek adalah RM18.5 juta. 

“Proses perolehan projek telah selesai dilaksanakan dan kebenaran masuk tapak bagi melaksanakan kerja tanah telah diberikan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan tinjauan status kemajuan kerja-kerja binaan Mahkamah Syariah Daerah Papar, di Kampung Benoni, di sini hari ini.

Semasa program libat urus tersebut, Armizan meminta pihak-pihak terlibat memastikan projek berjalan lancar dan berharap dapat disiapkan mengikut jadual.

Turut hadir, Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Makhzan Mahyuddin, Pengarah Jabatan Ketua Pengarah dan Galian (JKPTG) Sabah, Herdiansyah Abdul Karim dan Timbalan Ketua Setiausaha Kanan, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Sollehuddin Alyubi Zakaria.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *