HomeUtamaSabah sasar kunjungan 2.2 juta pelancong tahun ini

Sabah sasar kunjungan 2.2 juta pelancong tahun ini

Read Time:1 Minute, 26 Second

BERNAMA

Kuala Lumpur: Kerajaan negeri Sabah menyasarkan 2.2 juta kedatangan pelancong domestik dan antarabangsa ke negeri itu pada tahun ini, selari dengan pelancaran slogan baharu bagi destinasi pelancongan Sabah iaitu ‘Feel Sabah, North Borneo’.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Christina Liew pada Jumaat berkata dalam mencapai sasaran itu, pihaknya menggunakan kenderaan e-hailing bagi mempromosikan pelancongan Sabah.

“Buat masa ini kami baharu sahaja membuka sempadan, oleh itu sasaran kami ialah kira-kira 2.2 juta kedatangan (pelancong) dan kami harap dapat mencapai sasaran tersebut, tetapi jika lebih daripada itu lebih baik.

“Berbanding senario prapandemik sebelum kami menutup sempadan, jumlah kedatangan (pelancong) di Sabah ialah 4.25 juta,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan slogan baharu Sabah Tourism iaitu ‘Feel Sabah, North Borneo’ pada pameran Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) di sini.

Pada majlis itu, beliau melawat Pavilion Sabah dan melepaskan konvoi 10 daripada 100 kenderaan e-hailing yang dilekatkan dengan pelekat ‘Feel Sabah, North Borneo’ yanng akan berada di sekitar Lembah Klang selama tiga bulan bagi tujuan promosi.

Liew berkata slogan ‘Feel Sabah, North Borneo’ yang digunakan itu juga adalah bagi mengembalikan sejarah Sabah yang dahulunya dikenali sebagai Borneo Utara dan kini merupakan sebahagian daripada Malaysia.

“Kami membawa orang ramai kembali kepada sejarah Sabah dan untuk merasai alam sekitar ekopelancongan Borneo Utara yang ditawarkan. Saya percaya ramai dalam kalangan generasi muda tidak mengetahui masa lalu Sabah yang bersejarah dan ‘berwarna-warni’.

“Oleh itu, di samping mereka merasai keindahan alam sekitar Sabah, kemesraan hospitaliti, warisan budaya dan haiwan liar ikonik, mereka juga dapat merasai khazanah masa lampau seperti barangan antik daripada era Borneo Utara.

“Tambahan lagi, ini menekankan lokasi geografi kami sebagai satu negeri Malaysia di bahagian utara Pulau Borneo,” katanya.- BERNAMA

RELATED ARTICLES
Utama

SPM 2023 : 484 calon di Sabah peroleh keputusan cemerlang

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular