HomeIsu tempatanDua pelajar berkeperluan khas KV Keningau menang hadiah pertama Festival Seni Antarabangsa...

Dua pelajar berkeperluan khas KV Keningau menang hadiah pertama Festival Seni Antarabangsa Australia

Read Time:1 Minute, 25 Second

KENINGAU: Dua pelajar berkeperluan khas, Nurosimah Jumat dan Brenda Ashley dari Kolej Vokasional Keningau, telah memenangi hadiah pertama di Festival Seni Antarabangsa secara dalam talian (online) berpangkalan di Australia pada 20 Mac lalu.

Sijil yang diterima Nurosimah dan Brenda.

Pertandingan anjuran Monolit Festival itu telah memberi pengiktirafan tersebut kepada video persembahan pasukan ini yang bertajuk “John & Ibu Sihir” dalam Kategori Dewasa – Penceritaan Berilustrasi.

Pengarah Kolej Vokasional Keningau, Christine Stanislaus Kinsik berkata, Nurosimah dan Brenda masing-masing berusia 18 tahun merupakan pelajar jurusan pembuatan pakaian di kolej itu dan mereka berdua baru sahaja menduduki peperiksaan hujung tahun.

Menurutnya, mengenai karya yang dimenangi kedua-dua pelajar ini, mereka telah menggunakan kad cerita yang rawak sebagai asas penulisan karya asli mereka dengan menyerapkan unsur fantasi dan dongeng melalui watak ahli sihir.

“Mereka telah berjaya menulis dan menyampaikan cerita tersebut dalam Bahasa Melayu yang disertakan dengan sari kata dalam Bahasa Inggeris.

“Ianya menceritakan seorang lelaki bernama John yang terkejut melihat seorang ahli sihir bersama adiknya di rumah mereka apabila dia balik dari tempat kerjanya. Walaupun ahli sihir itu berkelakuan baik dan memberi mereka penyapu ajaib namun dia kekal curiga dengan niat sebenar ahli sihir tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Christine turut memuji usaha pelajar-pelajarnya yang cekal mengasah bakat mereka dan wajar dijadikan amalan untuk membuka lebih banyak peluang kepada pelajar-pelajar berkeperluan khas.

Sementara itu, menurut Nurosimah ketika dihubungi, dia dan rakan baiknya Brenda sangat gembira kerana berjaya mendapat tempat pertama dalam pertandingan itu.

“Kami tidak sangka mendapat tempat pertama, ini akan menjadikan kami lebih bersemangat untuk mengembangkan lagi bakat kami dan berjaya dalam bidang yang kami ceburi kelak,” katanya.

Rakaman video persembahan Nurosimah dan Brenda boleh diakses melalui: https://youtu.be/ixdMKel_ewM

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Hannah, Mia galas cabaran Sabah cipta hatrik Bintang Kecil Kebangsaan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular