KUSKOP garis beberapa strategi dan inisiatif dalam P3PK 2023-2027

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 8 Second

Kuala Lumpur: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menggariskan beberapa strategi dan inisiatif dalam Pelan Pembangunan Penjaja dan Peniaga Kecil (P3PK) 2023 – 2027 bagi memantapkan lagi kumpulan penjaja dan peniaga kecil di negara ini.

Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, antara perancangan strategi dan inisiatif itu ialah menambahbaik garis panduan dan piawaian pengoperasian perniagan kumpulan penjaja dan peniaga kecil.

“Selain itu ia juga memperkasa kebajikan penjaja dan peniaga kecil melalui pelaksanaan inisiatif Kad Prihatin Penjaja dan Peniaga, mentranformasi imej dan penjenamaan penjaja dan peniaga kecil dengan pelaksanaan Program Kesejahteraan Bandar.

“Memperkukuh bakat dan pembangunan perniagaan menerusi program serta seminar peningkatan dan pemerkasaan, membudaya adaptasi serta pengukuhan kompetensi pendigitalan perniagaan dengan pelaksanaan program-program latihan secara hands-on,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Pembangunan Kapasiti Penjaja dan Peniaga Kecil dan Pelancaran Pelan Pembangunan Penjaja dan Peniaga Keicl (P3PK) 2023 – 2027, di Dewan Auditorium Menara Pernas, di sini, semalam.

Ewon berkata, P3PK 2023-2027 merupakan kesinambungan Inisiatif Strategik Pembangunan Penjaja dan Peniaga Kecil (ISPPK) 2015-2020 yang tamat tempoh pelaksanaannya dan dibangunkan berpaksikan kepada Dasar Keusahawanan Negara (DKN) 2030.

Katanya lagi, pembangunan P3PK 2023-2027 memfokuskan kepada perencanaan strategi dan inisiatif yang lebih komprehensif dan mampan mengambil kira impak pandemik COVID-19 ke atas komuniti penjaja dan peniaga kecil yang terjejas teruk.

“P3PK 2023 – 2027 dirangka berpaksikan lima teras strategik dan diperkukuhkan dengan 17 strategi serta 29 inisiatif yang diyakini mampu memberikan nilai tambah kepada pembangunan ekosistem perniagaan kumpulan penjaja dan peniaga kecil di seluruh negara.

“Pelaksanaan strategi dan inisiatif dalam pelan ini dijangka mampu memberi manfaat kepada sekurang-kurangnya 86,000 penjaja dan peniaga kecil,” katanya.

Ewon berkata, berdasarkan perancangan kementerian, pelaksanaan strategi dan inisiatif untuk tempoh lima tahun dicerakinkan mengikut tiga fasa garis masa iaitu langkah pantas (1 tahun), sederhana (1 hingga 3 tahun) dan panjang (3 hingga 5 tahun).

“KUSKOP percaya dengan penetapan garis masa ini, P3PK 2023 – 2027 akan memberi impak positif yang kolektif kepada setiap pihak berkepentingan,” katanya.

Beliau berkata, pelancaran Pelan Pembangunan Penjaja dan Peniaga Kecil 2023-2027 bersempena pelaksanaan Program Pembangunan Kapasiti Penjaja dan Peniaga Kecil adalah salah satu inisiatif awal untuk penjaja dan peniaga kecil memantapkan Pembangunan Modal Insan Penjaja dan Peniaga Kecil.

“Pada tahun ini, kementerian komited meneruskan pelaksanaan Program Pemantapan Peniaga dan Penjaja Kecil ke seluruh negara.

“Diharapkan program ini memberi nilai tambah kepada para peserta terutamanya dengan sijil penyertaan yang boleh digunakan sebagai dokumen sokongan terutamanya dalam mendapatkan bantuan kewangan di agensi-agensi KUSKOP,” katanya.

Ewon juga berharap P3PK 2023 – 2027 akan menjadi asas rujukan untuk memangkin pembangunan kumpulan penjaja dan peniaga kecil di Malaysia. – SABAH MEDIA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *