HomeSukanStadium Nasional akan dipasang VAR

Stadium Nasional akan dipasang VAR

Read Time:1 Minute, 18 Second

BERNAMA

Kuala Lumpur : Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) merancang melengkapkan Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) dengan teknologi Video Bantuan Pengadil (VAR) berspesifikasi penuh, bagi menjadikan ‘rumah’ Harimau Malaya itu berkelas dunia.

Ketua Pegawai Eksekutif PSM Mohd Faidz Sanusi berkata penggunaan VAR dilengkapi minimum lapan kamera, disifatkan sesuai dengan standard SNBJ selaku stadium utama di Malaysia.

“Kami ada perancangan untuk memasang VAR, jadi ia (SNBJ) sedia untuk menghadapi sebarang kejohanan antarabangsa dan sudah semestinya untuk kejohanan tempatan juga, jika ada peruntukan dan dapat dana yang sewajarnya, kita ada perancangan untuk pasang VAR di SNBJ.

“Kita akan gunakan spesifikasi tinggi dan bertaraf dunia. Sebab itu kalau kita nak buat sesuatu itu biar kita ikut standard antarabangsa terutama aset di bawah PSM,” katanya.

Mohd Faidz berkata pihaknya juga bersedia mengadakan perbincangan dengan ahli lembaga pengarah PSM serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS), berhubung kos penggunaan VAR yang dikatakan menelan harga lebih setengah juta ringgit.

Beliau berkata SNBJ perlu menjadi venue terbaik, selain menjadi penanda aras kepada stadium lain di Malaysia.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), sebelum ini mengesahkan VAR akan mula diperkenalkan pada tahun ini di Liga Malaysia (Liga M), dengan Piala FA dan Piala Malaysia dipilih sebagai medan percubaan.

Minggu lepas, pendekatan penggunaan VAR merupakan antara perkara penting dibincangkan Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin, dalam pertemuannya dengan Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Pierluigi Collina di Kongres FIFA ke-73 di Kigali, Rwanda.

Pada pertemuan tersebut, Collina mencadangkan kepada Hamidin sama ada untuk menggunakan VAR Sepenuhnya (minimum lapan kamera) atau VAR Ringan (kurang daripada lapan kamera) dalam kancah bola sepak tempatan. – BERNAMA

RELATED ARTICLES
Sukan

KPT yakin acara catur mampu bawa pingat emas pada AUG

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular