Dasar baharu dalam usaha mansuh hukuman mati mandatori – Azalina

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 0 Second

BERNAMA

Kuala Lumpur: Jemaah Menteri dalam mesyuarat pada Jumaat lepas bersetuju dengan beberapa dasar baharu dalam usaha pemansuhan hukuman mati mandatori, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau berkata antara dasar itu ialah; tiada lagi hukuman pemenjaraan sepanjang hayat sebagai alternatif kepada hukuman mati mandatori, sebaliknya, hukuman alternatif baharu adalah hukuman pemenjaraan tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta sebatan tidak kurang 12 kali.

“Selain itu, hukuman pemenjaraan sepanjang hayat sebagai satu hukuman dimansuhkan sepenuhnya dalam semua undang-undang; hukuman mati dimansuhkan bagi kesalahan-kesalahan yang tidak menyebabkan kematian, melainkan tiga kesalahan iaitu Seksyen 121 dan 121A Kanun Keseksaan dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“… dan juga; satu Rang Undang-Undang (RUU) baharu bagi membolehkan hukuman mati atau hukuman pemenjaraan sepanjang hayat yang telah dikenakan disemak semula oleh Mahkamah Persekutuan.

“Cadangan RUU ini dijangka akan memberi kesan kepada 957 orang banduan hukuman mati dan banduan sepanjang hayat yang telah menghabiskan proses rayuan di mahkamah sebelum ini,” katanya dalam sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Negara semalam.

Azalina berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Senator Datuk Koh Nai Kwong mengenai apakah status terkini kajian semula cadangan melaksanakan hukuman gantian kepada hukuman mati mandatori bagi pelbagai kesalahan.

Beliau pada masa sama menegaskan dasar kerajaan MADANI ketika ini ialah untuk mengubah hukuman dan bukannya menghapuskan hukuman mati berkenaan, dengan kuasa budi bicara diberikan kepada hakim.

Menurut Azalina, bacaan kali pertama bagi RUU Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 dan RUU Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023 akan dilakukan Isnin depan (27 Mac).

“RUU Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 dijangka akan memberi kesan kepada 476 orang banduan hukuman mati yang belum menghabiskan proses rayuan, sama ada di Mahkamah Rayuan ataupun Mahkamah Persekutuan.

“Hal ini disebabkan, hukuman alternatif kepada hukuman mati mandatori akan bersifat ke belakang,” katanya.

Dalam pada itu, Azalina berkata kerajaan telah mengadakan sebanyak 19 sesi libat urus dan mesyuarat bersama pihak berkepentingan seperti agensi kerajaan, peguam, bekas Ketua Hakim Negara, pakar perundangan perlembagaan, banduan-banduan akhir dan keluarga serta pertubuhan bukan kerajaan seperti Rangkaian Anti-Hukuman Mati Asia (ADPAN) dan Reprieve di United Kingdom.

“Pindaan perundangan melibatkan polisi penghukuman dan hukuman gantian terhadap hukuman mati mandatori ini merupakan perubahan positif kepada sistem keadilan jenayah di Malaysia supaya lebih holistik dan inklusif, selain tidak menafikan hak asasi individu untuk mendapat keadilan sewajarnya,” katanya.- BERNAMA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *