HomeUtamaLebih 6,000 peserta sertai program dilaksanakan TalentCorp

Lebih 6,000 peserta sertai program dilaksanakan TalentCorp

Read Time:1 Minute, 26 Second

Kota Kinabalu : Lebih 6,000 peserta terdiri dari golongan wanita di seluruh negara telah menyertai sebanyak 13 program yang dilaksanakan TalentCorp secara atas talian dan fizikal.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Mustapha Sakmud berkata, program yang dilaksanakan sempena Bulan Pemerkasaan Wanita itu telah memberikan penekanan kepada pelbagai isu.

Katanya, ia termasuklah isu kepelbagaian, kesaksamaan dan keterangkuman dalam tenaga kerja.

“Ini akan dapat dimanfaatkan oleh golongan wanita dari pelbagai latar belakang, termasuk remaja, profesional, wanita yang sedang berehat dari kerjaya dan warga emas.

“Saya difahamkan, selain aktiviti agihan bubur lambuk oleh para sukarelawan Universiti Malaysia Sabah (UMS)  dan TalentCorp, satu program perkongsian ‘YES! Wo+Men’ bagi peningkatan kebolehpasaran graduan UMS dalam pasaran kerja turut telah dilaksanakan pagi tadi. 

“Saya juga menghargai usaha TalentCorp dalam menyeimbangkan antara tuntutan pembangunan dan perkembangan sahsiah pelajar melalui aktiviti sebegini, ” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis agihan bubur lambuk dan berbuka puasa sempena penutupan Bulan Pemerkasaan Wanita 2023 oleh Talentcorp di Pusat Islam UMS di sini hari ini.

Hadir sama Naib Canselor UMS Datuk Dr Kasim Mansor dan Naib Presiden TalentCorp Mohd Amril Mohd Junid.

Mustapha yang juga Ahli Parlimen Sepanggar berkata, beliau yakin, usaha dan kerjasama seumpama itu akan dapat menangani cabaran tenaga kerja khususnya dalam aspek jurang kemahiran dan kebolehan pelajar dengan permintaan pasaran kerja. 

Katanya, Kerajaan sentiasa komited untuk memperjuangkan nasib rakyat dengan berteraskan konsep Malaysia MADANI

“Melalui usaha Kementerian Sumber Manusia dan TalentCorp, kita perlu menyantuni semua golongan tanpa mengira lapisan masyarakat.

“Sebagai contoh, jika anda mahu mencari peluang pekerjaan, TalentCorp banyak menyediakan ruang-ruang tersebut untuk anda. Bagi pelajar yang ingin memastikan anda menjadi calon terbaik semasa sesi temuduga kerja, pelbagai platform turut dibangunkan oleh TalentCorp bagi menyokong usaha tersebut,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Tiada kompromi terhadap peniaga Pakistan naikkan harga barang jualan – James

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular