HomeSukanLima pemain Kebangsaan harapan bantu mantapkan Sabah FC bertemu JDT

Lima pemain Kebangsaan harapan bantu mantapkan Sabah FC bertemu JDT

Read Time:1 Minute, 25 Second

Kota Kinabalu: Lima pemain Sabah FC yang dipanggil menyertai pasukan Kebangsaan sebelum ini diharap dapat membantu memantapkan pasukan pada  perlawanan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam ini.

Lima pemain itu ialah Darren Lok, Daniel Tiny, Dominic Tan, Damien Lim dan Stuard Wilkin.

Ketua Jurulatih Sabah FC Datuk Ong Kim Swee berkata, keupayaan dan kudrat mereka diperlukan selepas beberapa tonggak utama Skuad Badak dilaporkan masih mengalami kecederaan.

“Kehadiran mereka akan memberi ruang terbaik kepada Sabah FC tampil lebih mantap pada perlawanan menentang JDT yang ditunggu ramai peminat bola sepak negara,” katanya.

Katanya, beliau mempunyai masa beberapa hari bagi melihat tahap kecergasan kelima-lima pemain terbabit sama ada dapat diturunkan atau sebaliknya selepas kembali daripada menyertai skuad kebangsaan dalam perlawanan antarabangsa Tier 1 menentang Turkmenistan dan Hong Kong baru-baru ini.

“Kita tahu ada pemain yang bermain sebanyak dua perlawanan, ada juga bermain hanya satu perlawanan.

“Ini juga harus diambil kira dan bagi saya mereka adalah pemain yang sangat penting,” katanya mengulas persiapan Sabah FC menghadapi JDT.

Sebelum ini, empat tonggak pasukan Sabah FC dilaporkan mengalami kecederaan dan berkemungkinan tidak dapat diturunkan pada aksi menentang JDT malam ini. 

Kim Swee berkata, Sabah FC bergantung penuh kepada laporan perubatan bagi menentukan nasib empat pemain terbabit iaitu Telmo Castanheira, Saddil Ramdani, Jailton Paraiba dan Gary Steven Robbat.

“Mereka masih mengalami kecederaan dan kita bergantung penuh kepada laporan perubatan untuk menentukan kedudukan mereka,” katanya.

Beliau mengakui keadaan itu sesuatu yang membimbangkan terutama bagi menghadapi JDT selaku pasukan pilihan untuk menjuarai liga.

Kim Swee bagaimanapun menegaskan pasukannya akan cuba memberi saingan yang sengit tidak kira siapa pemain yang akan diturunkan pada perlawanan malam ini. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Sukan

Piala SMJ : Persiapan Sabah FC untuk lihat kekuatan, kelemahan pasukan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya