HomeUtamaNaiktaraf & isytihar Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar sebagai Pusat Pemunggahan Negara ke-2...

Naiktaraf & isytihar Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar sebagai Pusat Pemunggahan Negara ke-2 – Bobbey

Read Time:1 Minute, 18 Second

KUALA LUMPUR: Kerajaan Pusat perlu menaiktaraf dan mengisytiharkan Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar sebagai Pusat Pemunggahan Negara Kedua selepas Pelabuhan Klang, kata Ahli Dewan Negara (Senator) Datuk Bobbey A.Suan.

Katanya, dengan penaiktarafan dan pengisytiharan itu akan memudahkan proses mobilisasi industri eksport bagi komoditi utama Sabah yang melibatkan sektor-sektor prima seperti pertanian dan pembuatan serta mengaktifkan aktiviti perkapalan domestik dan antarabangsa.

Menurutnya, cadangan itu juga akan memperkasakan dan merancakkan aktiviti perdagangan dan ekonomi merentasi wilayah, mewujudkan peluang pekerjaan, menjana pendapatan wilayah melalui aktiviti eko-pelancongan, menggalakkan pelaburan langsung asing dan secara tidak langsung mengatasi dan mengimbangi perbezaan besar nilai harga bahan mentah dan harga barangan keperluan di antara Sabah dan Sarawak serta Semenanjung.

“Justeru saya mencadangkan kepada Kerajaan Pusat untuk mewujudkan strategi prima dan mekanisme menang-menang bagi menaiktaraf dan mengisytiharkan Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar sebagai Pusat Pemunggahan Negara yang kedua selepas Pelabuhan Klang sebagai Pusat Pemunggahan Negara yang pertama di Malaysia”, katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahas Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di Dewan Negara, semalam.

Bobbey berkata, beliau mengulangi seruan yang pernah disuarakan pada Persidangan Dewan Negara tahun lalu kerana ianya belum dijawab oleh kementerian yang bertanggungjawab.

Katanya, untuk meringankan beban kerajaan selain memastikan pelaksanaan Lebuh Raya Pan Borneo Sabah dan Sarawak-Sabah Link Road siap mengikut jadual yang telah ditetapkan, Kerajaan Persekutuan perlu mengelakkan pembinaan jalan laluan baru, sebaliknya mengambilalih dan menaiktaraf semua laluan balak sedia ada yang pada dasarnya juga merupakan laluan utama masyarakat setempat yang sudah mempunyai infrastruktur asas seperti tiang elektrik, sekolah, klinik kesihatan, parit dan saliran, akses jalan-jalan kampung dan sebagainya.

RELATED ARTICLES
Utama

Malaysia: Rakyat Derita Kesihatan Mental  

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya