Teroka bidang baharu yang mampu bawa pembangunan ekonomi, kesejahteraan rakyat

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 43 Second

Tawau : Kerajaan negeri mahu semua ahli-ahli majlis bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) meneroka bidang-bidang baharu yang mampu membawa kepada pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat di kawasan yang menjadi tanggungjawab mereka.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, mereka perlu bersedia untuk meneroka bidang baharu selain berhadapan dengan pelbagai cabaran untuk kemajuan sesuatu kawasan demi memberi keselesaan dan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat.

“Ahli-ahli majlis dan PBT perlu memainkan peranan dalam pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat sebagai kerajaan ketiga dalam struktur pentadbiran kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Angkat Sumpah dan Penyerahan Watikah Pelantikan Ahli-Ahli Majlis Perbandaran Tawau yang diadakan di Dewan Sri Tawau, di sini,semalam.

Dr Joachim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah berkata, amanah dan tanggungjawab tersebut amat berat dan penting kerana mereka adalah pemimpin kepada masyarakat di kawasan masing-masing.

Katanya, barisan Ahli-ahli Majlis terutama yang baharu perlu mengetahui matlamat PBT dan Dasar Kerajaan Negeri dalam melaksana kewajipan dan tugas masing-masing.

“Lengkapkanlah diri dengan ilmu dan kefahaman terhadap fungsi, peranan dan tugas yang disandang, peka terhadap hal ehwal kerajaan tempatan, prihatin akan permasalahan masyarakat setempat serta ambil tahu keadaan sekeliling dan global,” katanya. 

Beliau berharap, ahli-ahli majlis dapat memberi sepenuh komitmen kepada tugasan baharu mereka dengan membantu Presiden serta semua warga kerja Majlis Perbandaran Tawau (MPT) dalam melaksanakan segala gerak kerja dan agenda perancangan yang sedang atau bakal dilaksanakan nanti.

“Bekerjalah seperti “aur dengan tebing’’, agar segala tanggungjawab yang direncanakan dapat dilunaskan dengan lebih pantas dan efisien,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa itu bukanlah satu keistimewaan malahan ia merupakan satu amanah dan tanggungjawab yang penting untuk membantu penduduk di daerah Tawau.

“Pelantikan ini juga bukanlah sebagai peluang untuk memenuhi kepentingan diri sendiri, rakan-rakan ataupun ahli keluarga masing-masing. 

“Malahan, tanggungjawab dan amanah semua ahli adalah berat dan sangat penting untuk masa depan daerah Tawau. Ahli-ahli Majlis perlu terus peka kepada keperluan dan kepentingan awam serta bertangungjawab untuk menyumbang idea dan kepakaran dalam memaju dan meningkatkan mutu perkhidmatan MPT,” katanya. – SABAH MEDIA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *