HomeUtamaJabatan Air diminta pastikan catuan air dilaksana lebih baik menjelang Aidilfitri...

Jabatan Air diminta pastikan catuan air dilaksana lebih baik menjelang Aidilfitri – Shahelmey

Read Time:2 Minute, 30 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri ini, Timbalan Ketua Menteri lll Datuk Ir Shahelmey Yahya telah berpesan kepada Jabatan Air agar memastikan catuan air dijalankan dengan lebih baik supaya kawasan-kawasan yang terjejas akan sentiasa mendapat bekalan air.

“Sebagaimana yang kita tahu kita sedang mengalami masalah bekalan air di seluruh negeri, saya telah berpesan kepada Jabatan Air supaya catuan bekalan air dapat dilaksanakan dengan baik dan sekiranya ada kawasan-kawasan yang ada masalah tekanan air rendah mereka boleh menghubungi Jabatan Air melalui talian careline mereka untuk tindakan yang sewajarnya sama ada kita menghantar lori air atau sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa menghadiri Majlis Iftar Ramadan bersama Warga Rumah Anak Yatim dan Asnaf As-Sakinah Taman Pantai Lok Kawi serta rakan Media dan jentera parti dari pejabat Wakil Rakyat N24 Tanjung Keramat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.

Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya berkata, pihak Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) turut mengambil maklum terhadap teguran yang diterima daripada pengguna berkenaan dengan talian careline yang didakwa fungsi perkhidmatannya tidak memberikan kerjasama sewajarnya kepada pengguna.

“Bulan lepas saya telah mendapat aduan daripada pengguna berkenaan dengan talian careline yang tidak ada respon yang sepatutnya daripada pegawai-pegawai dan kakitangan Jabatan Air.

“Bagaimanapun mengenai perkara itu, mereka telah mengambil maklum terhadap teguran tersebut, saya berharap ianya dapat dipertingkatkan dari masa ke semasa,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga turut memaklumkan bahawa Jabatan Air mengalami kekangan masalah seperti jumlah tenaga kerja yang ada, jadi kerajaan bersetuju mengambil pekerja-pekerja baharu namun ia juga akan mengambil masa.

“Antara lain cabaran kita selain daripada jumlah permintaan air yang agak tinggi berbanding jumlah bekalan air yang kita dapat berikan adalah seperti kes-kes Non Revenue Water (NRW) seperti disebabkan kecurian air.

“Kita juga sedang memantau dan melakukan penguatkuasaan terhadap kes-kes kecurian air tersebut tetapi seperti mana yang saya katakan tadi kita mengalami cabaran tenaga kerja dan juga keberkesanan dalam operasi tersebut jadi satu mekanisme ataupun gerakan bersepadu perlu dibuat bagi menangani masalah tersebut,” tegasnya.

Tambah beliau, untuk memulihkan masalah bekalan air, Jabatan Air juga sedang giat melakukan kerja-kerja penambahbaikan untuk mengurangkan NRW daripada 60 peratus kepada peratusan yang lebih rendah.

“Sekiranya ini kita dapat jayakan menjelang hujung tahun ini, maka bekalan air yang sepatutnya akan dapat dinikmati oleh pengguna di luar sana.

“Malah dengan adanya program NRW kita akan dapat mengesan kawasan-kawasan yang mengalami tekanan air. Jadi dengan adanya sistem tersebut pegawai-pegawai Jabatan Air akan dapat melakukan tindakan-tindakan yang sewajarnya bagi memulihkan tekanan air.

“Manakala bagi kes kecurian pula masalah ini sedikit berbeza, kita perlukan penguatkuasaan dan mungkin kita adakan mekanisme sama ada kita akan lakukan pump meter ataupun sebagainya, ini sedang difikirkan oleh satu jawatankuasa,” ujar beliau.

Sementara itu, mengulas ringkas mengenai Majlis Iftar Ramadan, Shahelmey berkata, ia adalah satu majlis untuk meraikan anak-anak rumah As-Sakinah, rakan media dan jentera parti N24 Tanjung Keramat.

“Selain mengeratkan silaturrahim, ia juga sebagai tanda syukur di atas nikmat yang diberi,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

QSB kukuh kolaborasi dalam pengurusan kesihatan pekerja asing

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya