HomeUtamaMalaysia tiada bantahan Australia dedah laporan tragedi Double Six

Malaysia tiada bantahan Australia dedah laporan tragedi Double Six

Read Time:1 Minute, 54 Second

BERNAMA
Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

Putrajaya: Australia akan turut mendedahkan laporannya mengenai nahas pesawat Sabah Air terhempas yang mengorbankan Ketua Menteri Sabah Tun Fuad Stephens bersama beberapa anggota Kabinet negeri pada 1976 dan Malaysia tiada bantahan berhubung perkara itu.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata pihak Australia bersedia mendedahkan laporan mereka.

“Tiada isu yang timbul jika mereka mendedahkan laporan itu,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani Dana Sokongan Sementara Bas Berhenti-Henti (ISBSF) di sini hari ini.

Beliau berkata Malaysia telah berkomunikasi dengan kerajaan Australia melalui Suruhanjaya Tinggi negara itu di sini.

“Pihak Australia menghormati kerajaan kita kerana nahas itu berlaku di Malaysia dan mereka juga telah meminta pandangan serta persetujuan kita untuk mengeluarkan laporan berkenaan,” katanya.

Dalam tragedi itu, juga dikenali sebagai ‘Double Six,’ sebuah pesawat ringan buatan Australia jenis Nomad 9M-ATZ kendalian Sabah Air yang membawa sekumpulan kenamaan dari Labuan terhempas di daerah Sembulan ketika menghampiri Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu di Sabah pada 6 Jun 1976.

Laporan akhir siasatan nahas itu telah diklasifikasikan sebagai dokumen terbuka dan boleh diakses di laman sesawang Kementerian Pengangkutan bermula semalam (12 April).

Sebelas nyawa telah terkorban dalam tragedi itu termasuk barisan pimpinan kanan Kerajaan Negeri Sabah iaitu Fuad, Datuk Peter Joinod Mojuntin (Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sabah), Datuk Chong Thien Vun (Menteri Perhubungan dan Kerja Raya Sabah dan Datuk Salleh Sulong (Menteri Kewangan Sabah).

Turut terkorban Datuk Darius Binion (Pembantu Menteri kepada Timbalan Ketua Menteri Sabah), Datuk Wahid Peter Andau (Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Sabah), Dr Syed Hussein Wafa (Pengarah Unit Perancang Ekonomi Sabah) dan Ishak Atan (Setiausaha Sulit kepada Menteri Kewangan Malaysia).

Tragedi itu turut meragut nyawa Koperal Said Mohammad (Pengawal Peribadi kepada Ketua Menteri Sabah), Johari Fuad Stephens (anak Ketua Menteri Sabah) dan Gandhi J Nathan (juruterbang pesawat 9M-FTZ).

Media tempatan melaporkan bahawa anggota keluarga Fuad berkata langkah menyahklasifikasi laporan siasatan Malaysia berhubung nahas itu tidak lengkap jika pihak Australia tidak mengeluarkan laporannya.

Pada 5 April lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keputusan untuk mendedahkan laporan akhir tragedi Double Six itu dibuat selepas mengambil kira tuntutan keluarga waris selain pandangan rakyat Sabah yang inginkan maklumat terperinci berhubung kejadian itu.

Pada 8 Mac lepas, media melaporkan Mahkamah Tinggi di Sabah memerintahkan Putrajaya mengambil langkah perlu untuk menyahklasifikasi laporan berhubung insiden itu. – BERNAMA

RELATED ARTICLES
Utama

Demonstrasi tindakan tidak matang, guna saluran betul

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular