Usahawan Sabah disaran adaptasi platform pendigitalan dalam perniagaan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 19 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Para usahawan di negeri ini diseru untuk menerima perubahan semasa khususnya dalam mengadaptasi platform pendigitalan dalam menjalankan perniagaan.

Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA) Negeri Sabah, Dr. Shahrizin Abdul Sarhadat berkata, seperti yang dimaklumkan, Sabah merupakan negeri pertama yang melaksanakan program pendigitalan bersama dengan TM Unifi iaitu internet jalur lebar berkelajuan tinggi keluaran Telekom Malaysia (TM) untuk membantu usahawan-usahawan daripada semua peringkat.

“Kita menggalakkan para usahawan ini mengadaptasikan perubahan semasa dengan menggunakan platform digital dalam urusan perniagaan mereka.

“Seramai 40 usahawan Sabah menggunakan sepenuhnya platform yang ada di dalam digital itu untuk memajukan lagi perniagaan ataupun membawa perspektif berbeza bukan sahaja dari segi konvensional tetapi di dalam talian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media sempena Program Ramadhan Business Talk yang berlangsung di Hotel 7 Suria, di sini pada Rabu.

Seramai 80 orang menyertai program itu terdiri daripada 60 usahawan dari peringkat mikro/kecil dan sederhana dan 20 peserta daripada rakan strategik termasuk warga MARA Sabah.

Shahrizin berkata, dengan penglibatan peserta pelbagai peringkat dalam program itu, beliau mahu kedua-dua pihak iaitu agensi-agensi sebagai penyediaan perkhidmatan dan penerima perkhidmatan keusahawanan dapat satu pemahaman yang sama.

“Program ini merupakan program keusahawanan yang biasa kita laksanakan, tujuannya adalah untuk memberikan input-input yang terkini kepada usahawan-usahawan berkenaan dengan perkembangan semasa.

“Sebab itu kita panggil panel jemputan daripada Sabah Economic Development & Investment Authority (SEDIA), SME Corporation Malaysia (SME) dan Telekom Malaysia SME Sabah, untuk menjayakan forum yang bertajuk “Membina Kemampanan Bisnes Dalam Persekitaran VUCA”.

“Inilah matlamat kita supaya para usahawan dapat memajukan perniagaan mereka seterusnya yang paling penting sekali untuk memastikan kemampanan perniagaan mereka yang mana kita tahu tajuk utama forum pada hari ini ialah berkenaan dengan ketidakpastian persekitaran pada hari ini dan sebagainya,” ujarnya.

Ditanya mengenai perkembangan usahawan selepas pandemik Covid-19, Shahrizin berkata, pihak MARA semasa pandemik juga ada menawarkan skim-skim sokongan untuk usahawan-usahawan yang terkesan supaya mereka terus bertahan.

“Alhamdulillah, malahan semasa pandemik pun usahawan MARA yang terkesan ataupun yang gulung tikar adalah kurang dari dua peratus dan pada ketika itu juga MARA ada menawarkan skim-skim pembiayaan dan skim-skim sokongan yang ada dan kita juga telah berikan dana tambahan kepada mereka supaya mereka boleh bertahan.

“Dua skim yang popular pada ketika itu ialah MARA menawarkan Skim Pembiayaan Perniagaan Prihatin Mikro (S3P) dan Skim Pembiayaan Perniagaan Khas Wanita (DanaNITA),” katanya.

Dalam pada itu, Shahrizin turut menyarankan para usahawan harus menerima perubahan semasa dan mengambil peluang untuk memajukan perniagaan mereka sekali gus memajukan ekonomi Sabah.

“Saranan saya mudah sahaja, kita harus menerima perubahan dan contohnya di Sabah walaupun kita dimomokkan dengan kekangan macam-macam, kalau orang cakap Sabah sahaja macam-macam isu tetapi sebagai usahawan kita sepatutnya menukarkan masalah itu kepada peluang, jadi formula itulah yang dipakai di seluruh dunia untuk kemajuan Sabah,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *