HomeUtamaPemuda UPKO Penampang sokong sekatan buku 'Golden Son Of The Kadazan' ditarik...

Pemuda UPKO Penampang sokong sekatan buku ‘Golden Son Of The Kadazan’ ditarik balik

Read Time:2 Minute, 0 Second

Penampang: Pergerakan Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Penampang menyokong penuh saranan Ketua Bahagian UPKO Penampang Datuk Donald Peter Mojuntin supaya kerajaan menarik balik pengharaman buku ‘Golden Son Of The Kadazan’. 

Ketuanya Billy Joe Dominic berkata, ini kerana buku itu antara sejarah perjuangan para pemimpin Sabah khususnya pemimpin masyarakat Kadazandusun.

“Selepas laporan siasatan tragedi Double Six disiarkan secara umum, saya berpendapat buku ini juga perlu dibenarkan pengagihanya agar anak-anak muda dapat mengetahui sejarah perjuangan pemimpin-pemimpin Sabah pada masa lampau,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Billy turut memuji Presiden UPKO Datuk Ewon Benedick atas usaha beliau membawa perkara ini untuk perhatian kementerian berkenaan.

Dalam laporan media semalam, Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi dan Ahli Parlimen Penampang dipetik sebagai berkata, beliau telah membangkitkan isu mengenai buku Peter J Mojuntin Golden Son Of The Kadazan  semasa mesyuarat kabinet Rabu lalu.

Beliau berkata, menjadi tanggungjawabnya mengemukakan kepada kabinet perkara-perkara yang dibangkitkan keluarga mangsa tragedi Double Six.

“Bagaimanapun setakat ini kabinet belum dimaklumkan tentang apa-apa permohonan secara rasmi daripada pihak keluarga yang terlibat tetapi saya membaca kenyataan Datuk Donald selaku anak kepada mendiang Datuk Peter Mojuntin yang mencadangkan supaya ada siasatan seterusnya.

“Selain itu, beliau juga meminta supaya buku Peter Mojuntin The Golden Son Of The Kadazan dapat diedarkan. Perkara ini saya telah bangkitkan di Kabinet supaya buku tersebut tidak dihalang untuk diedarkan.

“Saya percaya Menteri Dalam Negeri akan memberi maklum balas pandangan tersebut dalam mesyuarat kabinet seterusnya,” katanya.

Buku biografi tokoh politik Kadazan itu ditulis oleh Bernard Sta Maria dan diterbitkan pada tahun 1978.

Peter Joinod Mojuntin (Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sabah) antara pemimpin Sabah yang terkorban dalam nahas udara pada 6 Jun 1976.

Nahas pesawat Sabah Air itu turut mengorbankan Ketua Menteri Sabah ketika itu Tun Fuad Stephens, Chong Thien Vun (Menteri Perhubungan dan Kerja Raya Sabah), Salleh Sulong (Menteri Kewangan Sabah) dan Darius Binion (Pembantu Menteri kepada Timbalan Ketua Menteri Sabah).

Turut terkorban, Wahid Peter Andau (Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Sabah), Dr Syed Hussein Wafa (Pengarah Unit Perancang Ekonomi Sabah), Ishak Atan (setiausaha sulit kepada Menteri Kewangan Malaysia), Koperal Said Mohammad (pengawal peribadi Ketua Menteri Sabah), Johari Fuad Stephens (anak ketua menteri) dan Gandhi J Nathan (juruterbang pesawat 9M-FTZ).

Pesawat udara Nomad 9M-ATZ keluaran Australia itu membawa rombongan berkenaan dalam perjalanan dari Labuan sebelum terhempas di Sembulan ketika menghampiri Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Projek infrastruktur air dilancar, tingkatkan kualiti dan ketersediaan bekalan air

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular