Empat suspek pencuri kabel syarikat telekomunikasi diberkas

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 13 Second

KOTA KINABALU: Polis berjaya memberkas empat suspek di dua lokasi berasingan dipercayai terlibat dalam kes mencuri kabel milik sebuah syarikat telekomunikasi di sekitar Daerah Kota Kinabalu dengan anggaran kerugian bernilai RM51,500.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisoner (ACP) Mohd Zaidi Abdullah berkata, pihaknya telah menerima dua laporan polis daripada sebuah syarikat telekomunikasi di Daerah Kota Kinabalu iaitu pada 13 Apri dan 14 April 2023 yang menyatakan berkenaan kecurian kabel milik syarikat terbabit bertempat di Jalan Kebajikan, Kota Kinabalu dan di Jalan Rampayan Menggatal dengan anggaran kerugian keseluruhan lebih kurang RM51,500.

Kejadian berasingan tersebut disiasat di
bawah Seksyen 431a dan 379 Kanun Keseksaan.

Mohd Zaidi berkata, hasil daripada maklumat yang diperolehi, pada 14 April jam lebih kurang 5 pagi, bertempat di tepi jalan kawasan penempatan Telipok, Menggatal, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu telah melancarkan beberapa siri serbuan.

“Dalam serbuan itu polis berjaya menangkap dua lelaki warga tempatan berumur dalam lingkungan 30’an, yang dipercayai pencuri kabel dan telah merampas barang kes dalam simpanan suspek berupa kabel silver serta tembaga yang telah dibakar untuk tujuan dijual bagi mendapatkan wang.

“Hasil pengakuan dan pendedahan kedua-dua suspek telah membawa pihak polis ke tempat pembeli hasil kabel curi tersebut bertempat di sebuah rumah tidak bernombor di kawasan penempatan Telipok iaitu tempat mereka menjual hasil
kabel / tembaga yang dicuri,” katanya dalam satu kenyatan media semalam.

Menurut Mohd Zaidi, pihak polis kemudiannya bertindak menangkap seorang lelaki warganegara Filipina yang merupakan pekerja di premis berkenaan.

“Pada 14 April 2023 lebih kurang jam 1200 tengahari, bertempat di kawasan semak berhampiran Jalan Kebajikan, Kota Kinabalu, pihak polis sekali lagi telah berjaya menangkap seorang lagi suspek yang dipercayai terlibat dalam kes curi kabel yang merupakan warganegara Filipina, manakala seorang lagi rakan sejenayahnya telah berjaya melarikan diri.

“Turut dirampas barang kes yang terlibat iaitu beberapa gulung kabel yang telah dipotong serta beberapa peralatan yang digunakan oleh saspek untuk melakukan kegiatan mencuri kabel,” katanya.

Beliau berkata, dengan tertangkapnya keempat-empat suspek, pihak polis percaya kes kecurian kabel yang semakin berleluasa sejak kebelakangan ini telah berjaya dibendung dan menjurus kepada penyelesaian kes khususnya bagi daerah ini.

“Polis Kota Kinabalu menggesa orang ramai dan masyarakat untuk terus membantu pihak polis dalam menyalurkan maklumat berkaitan kecurian kabel agar penjenayah yang terlibat dapat diberkas dengan segera.

“Dalam menguatkuasakan undang-undang, pihak polis bertegas untuk tidak berkompromi dengan sesiapa yang terlibat dalam jenayah ini terutamanya pemilik dan pengusaha premis-premis besi buruk yang melanggar undang-undang dan bersekongkol dengan penjenayah dengan membeli kabel yang dicuri untuk mengaut keuntungan, kerana kabel tersebut merupakan barang kawalan,” tegasnya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *