HomeUtamaSESB laksana program CSR Wakalah Zakat SESB sepanjang Ramadan

SESB laksana program CSR Wakalah Zakat SESB sepanjang Ramadan

Read Time:2 Minute, 20 Second

PAPAR: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) menyerahkan sumbangan sedekah kepada 30 orang golongan asnaf, masjid serta beberapa surau di sekitar Pengalat Besar sempena Program Seikhlas Budi Sesuci Ramadhan anjuran SESB di Masjid Kampung Pengalat Besar di sini pada Sabtu.

Program turut dihadiri Ahli Parlimen Papar yang juga Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah Sarawak & Tugas-tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali.

Ketua Pegawai Eksekutif, SESB, Ir Ts Mohd Yaakub Jaafar berkata, SESB telah dan akan melaksanakan program penyerahan sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) Wakalah Zakat SESB sepanjang bulan Ramadan ini.

“Penyerahan sumbangan ini melibatkan penerima daripada golongan Asnaf, Pusat Tahfiz, Masjid, Surau dan juga kepada Persatuan yang layak mengikut hukum yang ditetapkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah.

“Sumbangan yang diserahkan ini merupakan sebahagian daripada Wakalah Zakat SESB yang telah dan akan diagihkan kepada penerima yang layak,” katanya semasa berucap pada program itu.

Menurut Mohd Yaakub, selain 30 orang golongan asnaf, sumbangan turut diagihkan kepada masjid serta beberapa surau di kawasan Pengalat Besar termasuklah Masjid Kg. Pengalat Besar, Surau Al-Nur Rodieo, Kg. Labak, Surau Al-Ikhlas Kg. Sekayan, Surau Al-Alif, Kg. Sekayang, Surau Nurul Hidayah, Kg. Santing, Surau Raudhatul Ikhwan, Taman, Surau Kg. Melinggan, Kg. Melinggan dan Madrasah Tahfiz Darul Ulum Azzkia, Kg. Sagang.

“Sesungguhnya bulan Ramadan juga mengajar kita erti bersyukur dengan segala nikmat yang kita perolehi ini. Dan dengan rasa kesyukuran itu ia diharapkan akan dapat meningkatkan lagi ketaqwaan kita terhadap Allah SWT.

“Apabila kita menyentuh mengenai konsep melakukan ibadah, perlu diingat bahawa ia tidak sahaja tertumpu di bulan Ramadan semata-mata. Berkerja itu juga satu ibadah dan kewajipan yang mendapat ganjaran pahala dan keredhaan-Nya,” ujarnya.

Demikian juga di peringkat SESB, Mohd Yaakub turut memberitahu usaha yang dilakukan oleh SESB untuk membantu meningkatkan dayaharap sistem bekalan elektrik di Daerah Papar ini adalah satu ibadah yang dilaksanakan oleh warga kerja SESB khususnya SESB Kawasan Papar.

“Insha Allah SESB kini di peringkat untuk menaiktaraf sistem di daerah ini dengan pembinaan Pencawang Elektrik Pembahagian di Kampung Sekayan dan Pencawang Elektrik di Kampung Beringgis untuk mengelak isu kekusutan voltan (voltage drop) dan juga menampung kepada pembangunan pesat daerah Papar ketika ini,” katanya.

Sementara itu, Armizan yakin usaha murni SESB ‘memberi semula kepada masyarakat’ akan dapat membantu mensejahterakan kehidupan rakyat tanpa mengira kaum.

Katanya, secara tidak langsung, pelaksanaan program ini akan dapat mengeratkan lagi hubungan syarikat berkaitan kerajaan dan
korporat dengan masyarakat setempat serta meringankan beban kewangan golongan sasar.

“Kita amat mengalu-alukan penglibatan syarikat swasta, individu berkepentingan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) melaksanakan tanggungjawab sosial korporat di negeri ini.

“Komitmen itu diperlukan bagi membantu golongan asnaf, fakir miskin, anak-anak yatim, ibu tunggal serta golongan yang memerlukan di seluruh negeri.

“Kita memberikan sokongan sepenuhnya ke atas sebarang usaha daripada pihak tertentu untuk membangunkan tanggungjawab sosial sebagai inisiatif membantu golongan memerlukan,” kata Armizan.

RELATED ARTICLES
Utama

Juliah santuni anak-anak istimewa PPDK Tuaran

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya